Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Episode 2

Pena Berbulu Senyum Publication, Seksyen 23, Shah Alam…

Lalu, sang pontianak pun mengerahkan hampir seluruh bangsanya untuk mempertahankan tanah jajahan mereka dari ditawan oleh bala tentera yang terdiri daripada makhluk ganas pemakan daging manusia, yang berasal dari benua Eropah itu. Satu pertempuran yang hebat dan ganas bakal tercetus bila-bila masa saja lagi. Dua bangsa hantu dari dua benua bakal menentukan siapa yang lebih berkuasa untuk menjajah.
“Apa ke jadahnya yang budak ni mengarutkan?!” gumam Karim, selaku salah seorang editor Pena Berbulu Senyum Publication.
“Jadi encik, adakah karya saya ini boleh encik pertimbangkan?” soal Amru dengan penuh sopan santun sekali.
“Macam ini la. Saya rasa adalah lebih baik saya berterus-terang dengan awak. Saya rasa karya awak ni hanya layak untuk dihantar ke majalah-majalah lawak saja. Sebab tema kamu ini langsung tidak masuk akal sama sekali. Jalan cerita mengarut habis!” agak tegas Karim menegur hasil karya Amru itu.
Dengan penuh rasa rendah diri sekali, Amru menerima semua yang terpacul keluar dari mulut Karim sebentar tadi. Baginya dia harus menerima semua komen tentang karyanya secara positif. Memang sudah menjadi adat orang hendak belajar, mestilah tahan kena marah dulu. Itulah pesan arwah datuknya dulu yang masih dipegang sehingga kini.
“Jadi maknanya karya saya ni kira ditolak la encik?” soal Amru masih dengan gaya ramahnya.
“Begitulah rasanya. Saya rasa kamu perlu menukar tema cerita kamu ini. Bagi logik dan boleh diterima akal sikit. Bila dah sudah nanti kamu boleh balik ke sini lagi.” Karim cuba menunjukkan yang dia tidaklah sekejam mana.
“Terima kasih Encik Karim. Insya’Allah saya akan cuba menghasilkan karya yang lebih logik lagi encik,” tenang Amru memberitahu.
Karim merasa sungguh kagum dengan semangat dan disiplin Amru itu. Pertama kali dia melihat orang setabah Amru. Biasanya kalau orang lain sudah tunjuk muka sepuluh sen. Tidak pun melenting balik. Tidak boleh hendak terima kelemahan karya mereka sendiri.
“Boleh saya tahu kamu kerja apa sekarang?” Tiba-tiba saja ringan mulut Karim mengucapkan pertanyaan itu pada Amru.
“Saya tolong mak saya berjual di pasar malam saja encik. Siang saya tolong menjaga gerai pak cik saya pula.” Jujur Amru menjawab.
Entah kenapa Karim dengan tiba-tiba sahaja timbul rasa simpati di hati. Mungkin kerana ketabahan dan kelainan yang ada pada Amru. Bukan kelainan pada karyanya, tetapi pada kegigihan dan ketabahan budak itu menerima komen pedas dan lancangnya itu sebentar tadi dengan tenang sekali.
“Kenapa kamu mahu jadi penulis?” Tanya Karim lagi.
“Saya dari dulu memang sukakan buku encik. Setiap kali arwah ayah bagi saya duit, saya akan simpan untuk beli buku cerita. Sampai la saya sudah besar panjang macam ini saya masih lagi minat buku.” Jujur Amru memberitahu.
“Kamu sebenarnya sudah ada bakat menulis, cuma idea tema kamu itu kena beri perhatian lebih lagi. Saya tahu kamu cuba membuat satu kisah berbentuk fantasi, tapi tidak semestinya cerita fantasi itu jalan cerita dia terlalu mengarut. Mana kamu dapat ilham buat cerita fasal bangsa pontianak berperang dengan bangsa hantu dari eropah?” sejurus Karim tergelak sendiri. Namun tawanya itu bukanlah bermaksud untuk menghina hasil karya Amru, sekadar menunjukkan rasa geli hatinya terhadap jalan cerita Amru yang sebenarnya agak unik dan menghiburkan pada dirinya.
Amru tersenyum bersahaja. Dia tahu maksud tawa Karim itu bukan mahu memperkecilkan hasil karyanya.

0 comments:

Post a Comment