Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Video: Cerita Budak Kacak

Ini adalah video terbaru ku buat. Gambar ni aku amek lama dah, tapi baru hari ni aku akhirnya berjaya dan tahu macam mana nak jadikan ianya video. Sedih betul la aku ni. Kepada semua yang setia mengunjungi blog aku yang tak seberapa ni. Terima kasih aku ucapkan. Kalau nak lagi cantit tu jadi la followers aku yang pertama huhuhu..takde followers aku..sedih siot. Anyway hope korang semua enjoy dengan video aku ni. More to come soon. Tunggu...Ah lagi satu jangan lupa jumpe aku kat pesta buku nanti. Aku kasi autograf free ahaks..Aku pun teringin nak jumpa korang semua. Tau. Jumpe aku tau.

Episode 06

Kereta kami berhenti tidak jauh dari sebuah sekolah rendah. Mata Black buntang melihat sekolah itu. Aku tahu dia pasti masih ingat sekolah itu. Begitu juga dengan diri ku dan pemandu kami, Pak Ali.
“Bos. Ini bukan ke sekolah budak gemuk yang bos bawa hari tu? Apa kita buat kat sini bos?” pantas Black menanya ku. Membuatkan aku sekali lagi tersenyum.
“Sebab itulah aku bawa kau saja. Aku perlukan pertolongan kau. Aku cuma kau aturkan semua dokumen yang penting untuk aku mencari kerja,” jawab ku tanpa mengalihkan pandangan ku dari sekolah rendah itu.
“Cari kerja? Bos ni nak bergurau dengan saya agak-agak la bos. Bulan April dah lepas. Ke bos nak masukkan saya dalam rancangan apa tu er…Bang bang boom? Jangan la macam ni bos. Saya tau la saya selalu buat silap dalam kerja,” ujar Black mengarut.
“Aku bukan nak bergurau dengan kau la! Aku nak kerja dalam sekolah tu!” balas ku dengan suara yang ditekan.
“Apa?! Bos nak kerja kat sekolah rendah tu?! Tapi bos kan ketua kongsi gelap yang paling digeruni dalam bandar Lifey ni? Buat apa pulak bos nak kerja kat sekolah rendah tu! Harta bos tu tujuh keturunan pun tak habis makan tau bos,” Black menjawab.
“Kau ingat tak dulu aku pernah tanya kau apa yang best punya kekasih?” tanya ku dengan wajah serius. Kemudian aku menyambung, “Dan masih ingat sebab positif yang kau beritahu pada aku tu? Sebab tu la aku nak kerja di sini.”
“Maksud bos…”
“Ya. Aku rasa aku sudah dilamun cinta pandang pertama dengan seorang cikgu di dalam sekolah ini,” aku akhirnya mengakui itu di hadapan Black. Aku dah tak peduli kalau dia nak ketawakan aku.
“Jadi bos nak jadi cikgu kat sekolah tu ke? Tak ada hal, saya boleh aturkan semuanya. Sekarang ni bos, dengan duit hampir semua benda kita boleh buat,” kata Black.
“Kalau boleh aku memang nak jadi cikgu kat sekolah tu, tapi tak apa, aku pergi tanya dulu kalau-kalau ada kekosongan kerja sebagai cikgu lepas tu aku buat temujanji untuk temu duga. Lepas tu baru kau sediakan semua dokumen yang diperlukan. Amacam? Ok tak idea aku?” tanya ku sambil mengangkat kening.
“Cantik sangat bos! Bos nak saya temankan ke?”
“Mana ada orang nak pergi temuduga diiring oleh orang! Nanti orang suspek kat kita la. Kau dengan Pak Ali tunggu aku kat sini je. Ingat parking jauh sikit. Aku tak nak ada orang nampak aku pulang naik kereta ni!” beritahu ku pada Black.
“Baik bos! Selamat berjaya mencari cinta yang sejati bos!” sempat Black memberikan aku kata-kata semangat. Baik hati juga dia ni. Memang aku tak salah pilih dia sebagai orang kanan aku.
Cepat-cepat aku membuka kot ku. Aku berjalan masuk ke dalam kawasan sekolah itu dengan hanya memakai baju kemeja kelabu ku dan seluar slack putih. Sebaik aku melintasi pondok jaga, pantas saja jaga itu menegur ku.
“Selamat pagi encik,” ucap jaga itu pada ku dengan muka sedikit cuak.
“Selamat pagi,” ringkas aku menjawab sambil tersenyum berat.
“Encik tolonglah jangan tangkap saya!” Dengan tidak semena-mena jaga tu merayu pada ku. Sawan ke apa dia ni?
“Hoi! Aku datang bukan nak tangkap kau la! Aku ada hal sikit kat pejabat,” beritahu ku dengan suara yang ditekan perlahan.
“Oh?! Yeke? Terima kasih encik. Sila masuk encik,” balas jaga itu dengan muka lega. Aku kemudian bergerak ke pejabat sekolah.
Setiba ku di pejabat itu, wajah pertama yang aku lihat adalah seorang mak cik tua yang berbaju kurung dan tudung serba pink. Dia memandang ku dengan senyuman yang semacam. Cukup membuatkan aku meremang.
“Ada apa yang boleh saya bantu encik?” si mak cik itu bersuara. Senyumannya semakin semacam. Dan aku semakin meremang.
“Er…boleh saya tahu di sekolah ini ada jawatan kosong tak?” tanya ku tanpa memperkenalkan diri.
“Encik nak jawatan apa?”
“Apa-apa jawatan pun boleh. Asalkan saya dapat kerja. Sudah hampir tiga bulan saya menganggur sejak syarikat saya bekerja bankrap.” Aku menipu.
“Sebentar saya periksa,” beritahu mak cik pink itu. Dia kemudian bergerak masuk ke dalam salah satu bilik pejabat yang ada di situ. Tiga minit kemudian dia kembali masih dengan senyuman dia yang semacam dan meremangkan diri ku itu.
“Nampaknya hari ini adalah hari bertuah encik. Kebetulan sekolah kami ini memerlukan seorang budak penghantar surat atau lebih dikenali sebagai mat despatch.” Mak cik itu memberikan aku berita baik. Membuatkan hati ku sungguh gembira sekali.
“Syukur la kalau macam tu er…cik,” aku tersekat di situ. Mak cik itu tersipu malu mendengar aku memanggilnya dengan gelaran itu.
“Awak boleh jumpa dengan Puan Halimah, pegawai HR kami. Pejabat dia di situ,” mak cik itu menunjukkan aku pejabat yang dia masuk sebentar tadi. Aku ke situ selepas mengucapkan terima kasih kepadanya. Sekali lagi dia tersipu malu bila aku sekali lagi memanggil dia cik. Hampeh sungguh!
“Selamat pagi Puan Halimah,” ucap ku sebaik membuka pintu pejabat.
“Selamat pagi…Silakan duduk,” Puan Halimah mempersilakan dengan penuh sopan.
“Nama saya Resmanc. Saya diberitahu oleh cik di luar tadi yang sekolah ini memerlukan seorang budak penghantar surat pejabat. Jadi saya ingin memohon jawatan itu atas pertimbangan pihak puan,” ujar ku dengan penuh berhemah.
“Boleh saya tahu, sebelum ini kamu kerja apa?”
“Saya kerja sebagai budak penghantar surat juga puan.” Jawab ku berbohong.
“Mengapa kamu berhenti? Adakah kamu diberhentikan?”
“Tidak puan. Syarikat saya bekerja itu yang bankrap sebab bos kami tu kuat sangat main judi,” aku menjawab.
“Syarikat apa itu?”
“Nama syarikat tu Chi Tong Brothers. Ia merupakan sebuah syarikat kecil pembekal alatan ganti kereta puan,” aku mereka-reka maklumat.
“Kalau macam tu, memandangkan kamu sudah mempunyai pengalaman dengan kerja yang kami tawarkan ini, jadi saya rasa, tidak ada masalah untuk mengambil kamu bekerja. Baiklah kamu lengkapkan borang maklumat pekerja ini dan hantar ia esok sekali kamu terus bekerja,” beritahu Puan Halimah. Aku tersenyum riang.
“Terima kasih banyak-banyak puan,” kata ku. Puan Halimah melihat ku sambil tersenyum ramah. Akhirnya aku dapat juga bekerja di sekolah ini. Begitu mudah jalan ku untuk mendapatkan pekerjaan ini. Syukur kepada Tuhan.

Episode 05

14 Mei 2009…Hari kedua…

Dear diari. Hari ini banyak perkara yang telah berlaku dalam hidup ku. Mana dengan hampeh si Black yang tak boleh nak buat kerja dia sendiri dengan betul, terpaksa aku turun padang membantu. Lepas tu aku berjumpa pula dengan seorang budak gemuk yang asyik menyusahkan aku selepas aku tolong dia dari dibuli oleh sekumpulan samseng remaja.
Tapi dalam semua itu, ada sesuatu yang lebih pelik lagi telah terjadi dalam hidup ku. Hari ini, pertama kalinya aku berjumpa dengan seorang gadis yang telah berjaya membuatkan aku mengakui kecantikkannya.
Kalau nak difikirkan dari pakaiannya yang berjubah itu, tidaklah boleh melawan awek-awek yang aku jumpa sebelum ini yang mana dengan pakaian seksi dorang, dengan muka dorang yang cantik dan sesuai dengan fesyen rambut dorang. Tapi aku tidak pernah merasakan mereka semua itu cantik dan anggun.
Hinggakan dulu aku ingatkan diri ku adalah seorang lelaki yang digelar sebagai gay. Yelah, aku asyik tak pernah tertarik dengan mana-mana perempuan walau cantik dan seksi mana pun. Sampai ramai yang mula bercakap-cakap di belakang ku. Dorang semua ingat aku tak dengar la. Hampeh!
Nasib baik la aku ni tak pemanas macam arwah ayah aku. Kalau tak dah ramai dah yang cacat tubuh badan aku kerjakan. Berbalik kepada gadis yang aku katakan sebelum ini, dia memang cantik. Aku merasakan sesuatu yang sangat asing bila memandang wajahnya. Satu perasaan yang membuatkan darah ku dipam kencang di saluran darah ku. Jantung ku berdebar. Aku seperti tidak mahu berhenti melihat wajah itu. Penuh bercahaya menyerlahkan kecantikkan semula jadinya tanpa dicemar oleh sebarang warna alat solek. Sempurna! Itulah yang aku rasakan. Wajah itu sungguh sempurna.
Adakah aku sudah jatuh cinta pandang pertama pada gadis itu? Tapi sekiranya betul pun, apa yang patut aku lakukan. Dunia kami sangat berbeza. Aku sangat pasti dia seorang perempuan yang baik-baik. Dari keturunan yang baik-baik. Bukan seperti aku yang berasal dari keluarga samseng dan penjenayah pada pandangan sesetengah orang.
Tapi rasa hati ini sungguh kuat memujuk aku untuk berusaha agar dapat melihat wajah itu lagi. Sekiranya aku tidak dapat bercakap dengan dia pun tak apa. Kalau dia tak pernah kenal aku sampai bila-bila pun tak apa. Asalkan aku dapat menatap wajahnya sudah cukup. Kerana ianya sesuatu yang sangat membahagiakan jiwa raga ku.
EM?!!!! Apa yang sudah aku tulis ni?!!! Wahai diari merah yang bodo, adakah aku sudah menjadi seperti si lahabau Black tu? Adakah aku sudah kehilangan akal waras ku? Alangkah bagusnya sekiranya kau boleh berkata-kata wahai diari merah yang bodo. Oh?! Aku lupa, kau hanyalah diari yang bodo. Ya! Sekarang ini aku sudah hampir bodo seperti kau sebab aku mengharapkan kau boleh berbicara dengan aku….

Aku pantas berhenti menulis. Aku tahu, sekiranya aku meneruskannya, pasti ayat-ayat yang tercatat akan lebih mengarut dan menyimpang dan normal seorang manusia biasa.
Selepas menyimpan diari itu ke tempatnya, aku berjalan ke bilik tidur ku. Niat ingin membuta. Aku tak nak terus melayan perasaan aneh ni. Boleh angau atau gila aku dibuatnya.
Aku ingat aku berjalan untuk terus tidur sebaik merebahkan badan ku di atas katil ku yang bertilam empuk. Rupanya aku silap. Semakin kuat perasaan itu menyerang diri ku. Hati ku memberontak untuk melihat wajah gadis itu lagi.
Aku cuba memerah ingatan ku. Mahu melihat sekali lagi bagaimana rupa paras cantik gadis berjubah dan bertudung serba hitam itu. Aku menjadi marah bercampur kecewa kerana tidak berjaya.
“Tak boleh jadi macam ni! Aku kena buat sesuatu supaya aku boleh tengok lagi muka gadis tu!” aku mula bercakap sendiri. Tanda aku sudah dijangkiti oleh virus angau.

“Bos?! Kenapa dengan mata bos tu? Merah semacam aje. Bos tak tidur ke apa semalam?” tanya Black pada ku yang sedang turun dari tangga yang menghubungkan tingkat atas.
“Aku tak dapat nak tidur semalam. Panas!” jawab ku dengan selamba. Sebagai alternatif, aku memakai kaca mata hitam. Aku tak nak ada yang ingat aku makan dadah. Walaupun keluarga ku tidak menyentuh sebarang perniagaan yang melibatkan dadah. Kerana bagi aku business yang berkaitan dengan dadah bakal menyediakan jalan mati pada ku sendiri. Sudah berapa keluarga yang tumbang kerana kantoi edar dadah.
“Black, hari ni aku tak nak ada orang kau yang ikut kita. Aku hanya nak keluar dengan kau saja. Anggap saja hari ini adalah hari cuti buat semua kecuali kamu,” beritahu ku pada Black. Ada sedikit kekecewaan yang terbias dari riaknya.
“Kita nak ke mana ni bos?” tanya Black.
“Adalah. Nanti aku bagitau kau. Sekarang kita pergi sarapan dulu. Lepas tu baru kita gerak ke tempat yang aku nak pergi tu. Kau pergi suruh semua budak kau balik rumah masing-masing dan ingatkan dorang jangan buat masalah di mana-mana selagi orang tak buat masalah pada mereka dahulu!” tegas aku berpesan.
“Baik bos!” Black menjawab.
Selepas itu Black sibuk menyuruh semua budaknya bercuti. Tapi sempat juga dia bersikap tegas dengan mengingatkan semua budaknya untuk bersedia dengan panggilan mengejut darinya. Semua budaknya kelihatan begitu segan dan hormat padanya.
“Kita hendak ke mana bos? Kenapa bos tetiba saja nak ajak saya keluar berdua ni?” tanya Black pada ku ketika berada di dalam kereta ku. Ada riak risau di sebalik senyum kambingnya itu. Mungkin dia takut kerana sekiranya seorang ketua mengajak orang kanannya berjalan berdua sahaja, pasti ada sesuatu yang tidak beres atau lebih buruk lagi, orang kanan itu bakal dibunuh kerana kesalahan besar yang tertentu.
Aku menguntumkan senyuman dibibir untuk menenangkan perasaannya itu. Kerana aku tak pernah terdetik untuk membunuh Black walaupun dia selalu saja menyusahkan aku! Biarpun dia ni pekak dan selalu salah buat kerja, tapi aku tahu dia sangat-sangat setia pada ku. Sama seperti arwah ayahnya yang setia pada arwah ayah ku.
Namun rupanya senyuman ku itu menambahkan lagi kerisauan di wajah Black. Dia menelan rengkungnya berkali-kali.
“Kau jangan la risau. Aku bukan nak bunuh kau. Walaupun kau selalu sangat salah buat kerja!” ujar ku sambil tersenyum.

Episode 04

“Kebetulan abang lalu kat sini. Lain kali hati-hati. Selamat jumpa lagi,” kata ku pada budak gemuk itu. Aku tak nak buang masa. Ada urusan yang lebih penting untuk aku urusankan. Niat ku untuk menolong budak gemuk itu sudah tercapai. Aku berpusing dan mengorak langkah pergi.
“Abang tunggu!” mengejut budak itu menahan aku pergi. Perlahan-lahan aku menoleh ke arahnya.
“Ada apa lagi?” tanya ku padanya.
“Sebenarnya duit saya semua sudah diambil oleh mereka tadi. Sekarang saya sudah tidak ada duit hendak ke sekolah,” beritahu budak itu.
Aku pantas melihat jam tangan ku. Sudah pukul 10.14 pagi. Sekolah apa yang mula jam-jam macam ni?! Biar betul budak gemuk ni?
“Dah jam berapa dah ni kamu baru nak pergi sekolah? Kamu ni biar betul?” tegas aku bertanya.
“Sebenarnya saya…” budak itu terdiam.
“Sebenarnya apa? Kamu escape sekolah kan?” aku menyambung. Budak kelihatan sedikit terkejut.
“Sebenarnya saya tidak tahan asyik dibuli. Hari-hari saya dibuli oleh Samat dan kawan-kawan dia,” akhirnya budak itu mengaku. Aku menatap roman budak gemuk yang malang itu. Di sekolah kena buli, di luar sekolah pula diugut. Apa ke malangnya nasib budak ni.
“Nah ambil duit ni buat tambang kamu,” ujar ku sambil menghulurkan sekeping duit kertas RM50. Tercengang budak itu melihat duit yang masih kejap di tangan ku.
“Banyak tu bang. Tambang saya ke sana cuma 80 sen. Tak nak la bang. Boleh tak abang tumpangkan saya ke sana saja?” pinta budak gemuk itu. Biar betul budak ni? Nak tumpang aku pulak. Sudah la aku ada urusan penting ni.
Aku terdiam. Budak tu pula sudah mula buat muka 10sen yang penuh simpati. Tidak! Aku tidak seharusnya kalah dengan muka yang penuh simpati itu! Itu semua hanyalah umpan supaya aku akhirnya akan menumpangkan dia. Jangan harap aku nak termakan dengan umpan dia yang murah tu!

“Bos? Siapa budak kecil ni? Bos culik anak musuh ke bos?” tanya Black dengan penuh lancangnya. Aku pantas memberi isyarat tangan yang menyuruh dia diam. Manakala budak gemuk itu sudah mula memandang Black dan orang-orangnya pelik.
“Kenapa abang dan kawan-kawan abang ni semua pakai baju kot? Abang semua ni escape dari pejabat ek?” tanya budak itu sambil tersenyum sinis.
“Sebenarnya kami semua ni sedang dalam perjalanan nak ke satu mesyuarat penting di pejabat rakan kongsi bos abang. Sudahlah, mari abang hantar kamu ke sekolah kamu cepat. Abang dah lambat nak ke mesyuarat ni,” terang ku pada budak gemuk tu.
“Abang berenti kat depan tu bang,” tunjuk budak itu. Pak Ali memberhentikan kereta di sebuah pondok menunggu bas yang terletak tidak jauh di luar sebuah sekolah rendah kebangsaan.
“Abang. Boleh tolong hantar saya masuk ke sekolah?” pinta budak itu lagi. Lebih betul la budak ni! Aku dah tolong dia dari diugut, lepas tu hantar dia ke sekolah, dan sekarang dia nak aku hantar dia masuk ke sekolah pulak!
“Kenapa la pulak kamu nak abang hantar masuk ke dalam sekolah? Abang dah lambat ni!” beritahu ku pada budak itu. Sekali lagi dia buat muka 10 sen dia. Aku nekad kali ini aku tak akan kalah dengan muka dia tu. Jangan harap!

“Ada urusan apa encik?” tanya pengawal sekolah itu pada ku. Aku melihatnya dengan senyuman berat.
“Aku nak hantar budak ni masuk kelas,” pendek aku menjawab. Pengawal itu memandang ku curiga.
“Tapi sekarang ni sudah jam 10.20 pagi encik. Budak-budak sudah lama masuk. Lagipun…saya rasa saya cukup kenal dengan budak ni,” kata pengawal tu pada ku sambil merenung tajam ke arah budak gemuk yang menyusahkan aku ni.
“Ehem. Sebenarnya saya jumpa budak ni diugut oleh sekumpulan remaja tadi. Nyaris dia dibelasah di luar sekolah tadi. Lihat tepi lengan baju dia dah koyak sikit. Macam mana kamu buat kerja kamu? Budak ni diugut hanya beberapa puluh meter dari luar kawasan sekolah,” marah ku pada pengawal itu sambil menunjukkan lengan baju sekolah budak gemuk tu.
“Tapi bukankah kejadian itu berlaku di luar sekolah?” pengawal itu menjawab.
“Ohoo…jadi kalau dia ni dibunuh di luar sekolah yang hanya beberapa meter dari pagar masuk sekolah, sedangkan kamu boleh melihat dia dari sini, kamu biarkan saja la?!” marah ku lagi. Pengawal itu terdiam seribu bahasa.
“Awak ingat, kalau saya laporkan perkara ini kepada pihak polis hari ini, kemungkinan besar kamu akan menghadapi masalah besar. Sebab budak diugut betul-betul kat luar situ tu je hah,” beritahu ku menipu.
“Ma…macam ni la encik. Saya minta maaf sangat sebab perkara ini. Apa kata kita settle saja encik?” akhirnya pengawal mengalah.
“Takpe, saya pun faham kamu perlukan kerja ini untuk menyambung hidup. Cuma nasihat saya lain kali, jangan asyik duduk dalam pondok ni saja. Jenguk-jenguk sikit kat kawasan luar pagar sekolah ni,” pesan ku. Pengawal itu mengangguk-angguk tanda faham.
“Adik boleh masuk sekarang. Tapi jangan sampai kantoi dengan cikgu tau. Nanti dengan abang sekali yang kena,” pesan pengawal itu pada budak gemuk itu pula.
Lalu budak gemuk itu pun bergerak dengan langkah berhati-hati menuju ke bangunan sekolah. Aku pula bergerak keluar pagar sekolah.
“Kamu hendak ke mana tu Fifi!” Sebaik saja aku berada di luar pintu pagar sekolah, tiba-tiba saja kedengaran suara seorang gadis menjerkah ke arah budak gemuk yang bernama Fifi itu. Aku pantas menyorok di sebalik batang pokok yang ada di luar sekolah.
Tidak jauh di dalam kawasan sekolah kelihatan seorang gadis berjubah hitam dan bertudung sedang mencekak pinggang di hadapan Fifi. Pengawal sekolah pulak boleh buat-buat tidur. Hampeh! Dia pun sempat menyelamatkan diri jugak rupanya.
“Saya…saya diugut di luar sekolah tadi kak. Tengok lengan baju saya dah terkoyak.” Fifi cuba memberikan alasan yang sama seperti aku tadi.
“Banyak la kamu! Mari sini kamu! Akak nak ajar kamu!” marah gadis berjubah serba hitam itu lagi. Aku cuba untuk melihat wajahnya. Tapi hanya belakangnya yang kelihatan. Sehinggalah dia akhirnya berpusing ke arah ku ketika dia memulas telinga Fifi.
Seperti ada halilintar yang menyambar diri ku sebaik melihat wajahnya. Aku tertegun di sebalik pokok. Tidak menganjakkan mata ku dari wajahnya yang penuh bercahaya. Aku akui itulah wajah yang paling cantik dan anggun pernah ku lihat.

p/s - aku gagal mendapatkan gambar gadis bertudung berjubah yang cantik. Ada pun tidak boleh aku siarkan kerana sebab-sebab peribadi. Korang bayangkan la sendiri ek.

Episode 03


“Sebenarnya bos. Lelaki punya beberapa sebab untuk memilih hidup berawek. Ada yang negatif dan ada jugak atas tujuan yang positif,” beritahu Black pada ku.
“Cuba kau terangkan apa yang negatif dan apa pula yang positifnya hidup punya kekasih ni?” tanya kembali.
“Baiklah. Sebab negatif seseorang lelaki jalang hendak berawek adalah untuk berpadu asmara secara tidak bermoral yang mana akhirnya menjerumuskan diri mereka ke arah zina. Bila dah dapat apa yang dorang nak mula la…” sebelum sempat Black berhujah dengan lebih mendalam, aku memotong cakapnya.
“Baiklah aku sudah faham yang itu. Apa pula yang positifnya?” kata ku.
“Ha…yang positif ni yang best bos. Tujuan seseorang lelaki baik untuk berawek adalah untuk merasakan sebuah cinta yang ikhlas dan membahagiakan. Sebuah cinta yang membolehkan mereka untuk menyayangi dan disayangi tanpa ada aktiviti tidak bermoral yang mencemari cinta itu. Ala, macam orang dulu-dulu bercinta la bos, mereka bercinta atas dasar kasih sayang yang suci. Bukan nak beromen tu semua!” terang Black menunjukkan wajah tegang. Emosional pulak mangkuk ni.
“Bos tanya ni, bos dah ada awek ke?” senyum kambing Black bertanya begitu.
“Aku? Awek? Ada banyak lagi perkara yang jauh lebih penting untuk aku fikiran dari buang masa nak berawek macam kau,” jawab ku selamba.
“Bos tak rasa sunyi ke tak ada awek? Yelah, sejak bos bergelar anak yatim, tak ada orang nak jaga bos. Kalau ada isteri tu boleh la jugak jagakan bos,” hasut si lahabau tu pada ku.
Tapi dalam diam sebenarnya ayatnya tu meninggalkan sedikit kesan pada diri ku. Sudah lama aku hidup sendirian. Sejak arwah emak meninggal, tak ada siapa nak jaga makan minum aku selain dari orang gaji aku tu semua. Tapi tak sama macam emak jaga aku dulu.
“Ha..diam maknanya betul la apa yang saya cakap tadi tu kan bos?” Black bersuara lagi. Menarik aku keluar dari lamunan yang aku sendiri tak sedar.
“Banyak la kau! Aku diam sebab malas nak layan cakap kau tu. Sudahlah! Lepas ni apa lagi urusan kita?” tanya ku cuba untuk menukar topik.
“Kejap bos, saya check jadual saya dulu,” ujar Black lalu mengeluarkan sebuah buku hitam kecil dari poket kotnya.
“Siap ada buku jadual kamu ya,” kata ku padanya.
“Biasalah bos. Saya ni pelupa. Kalau tak tulis nanti jadi macam dulu. Semua kerja tak siap la, salah buat la,” beritahu Black dengan selamba sambil menumpukan pandangannya pada muka surat buku kecil itu.
“Yang salah buat tu sebab kau tu yang pekak! Aku cakap lain, kau dengar lain,” aku membalas. Tapi dengan penuh tenang dia tidak mempedulikan kata-kata ku tadi. Sah dia tak dengar! Dasar pekak badak punya tapir!
“Em…mengikut jadual yang saya tulis ni bos. Lepas ni kita kena ke sebuah kelab malam. Pengurus kelab tu katanya mahukan perlindungan dari keluarga kita,” ujar Black pada ku.
“Jauh tak kelab tu dari sini? Kalau jauh malas la aku nak pergi,” kata ku sebelum menghirup minuman ku.
“Takde la jauh sangat bos. Kalau jauh saya pun malas nak pegi. Dah la nanti ada date dengan buah hati lagi.” Black tersenyum kambing.
“Kerja dulu baru urusan peribadi!” aku mengingatkan dia.
“Baik bos!” Black tabik pada ku.
“Cepat makan. Lepas tu kita terus gerak ke sana,” aku memberitahu.
Usai makan dan minum, kami kemudian bergerak bersama-sama budakBlack yang turut aku ajak makan di dalam restoran itu bersama kami. Tak sampai hati aku nak biarkan dorang tercegat kat luar kedai tunggu kami habis makan.
Sepanjang perjalanan kali ini aku tidak tertidur lagi. Mungkin sebab aku dah membuta sebelum ini. Aku tidak banyak bersuara. Lebih banyak memandang panorama di luar tingkap kereta. Pergerakkan manusia seharian.
Namun tiba-tiba sesuatu telah menarik perhatian ku. Tidak jauh dari sebuah pondok menunggu bas, kelihatan empat orang remaja belasan tahun sedang cuba untuk memeras ugut seorang budak lelaki gemuk yang memakai baju pelajar sekolah rendah.
“Tolong berhenti Pak Ali!” pantas aku mengarahkan pada pemandu kereta ku yang sudah lama berkhidmat dengan keluarga ku. Sejak dari arwah ayah ku lagi.
Sejurus Pak Ali memakirkan kereta di tepi jalan, aku terus bergegas keluar dari kereta. Orang-orang Black dan dia sekali pantas keluar dari kereta mereka dengan muka hairan. “Ada apa bos? Ada musuh ke?!” laung Black.
“Tak ada apa-apa, kamu semua jangan ikut aku. Tunggu saja di sini!” balas ku lantas berlari-lari anak ke arah remaja yang sedang galak memeras ugut budak yang lemah dan kecil dari mereka.
“Bagi la duit dan handphone kau ni pada kami! Aku tampar jugak budak ni karang!” gertak salah seorang dari empat remaja hampeh itu.
“Jangan la bang. Handphone ni hadiah akak saya bang. Saya sudah bagi semua duit saya tadi kan? Jangan la ambil handphone saya ni bang,” rayu budak kecil gemuk tu.
“Degil betul dia ni! Ambil penampar aku ni!” remaja itu tadi melibaskan penampar ke muka mangsanya itu. Namun pantas aku tangkap tangannya dan memulasnya ke belakangnya.
“Aduh! Apa ni bang!?” tanya remaja tu pada ku. Tiga rakannya tercengang melihat aku.
“Kalau kau nak pemeras ugut yang hebat, pergi la ugut orang yang sama besar atau lebih besar kau bodo!” marah ku pada remaja itu.
“Oii korang tolong la aku!” pinta remaja itu pada tiga rakannya. Aku memandang tajam ke arah kawan-kawannya tu. Tertegun saja mereka di tempat mereka tanpa berani berbuat apa-apa pada ku. Tidak lama kemudian mereka semua membuka langkah seribu. Meninggalkan remaja yang masih dalam cengkaman ku.
“Ampun bang. Saya janji tak buat lagi bang. Jangan tangkap saya bang,” rayu budak itu pada ku. Dia ingat aku ni polis. Dia ni tak tau ke baju aku ni melambangkan yang aku ni ketua kongsi gelap? Bodo punya samseng!
“Sekali lagi aku nampak kau memeras ugut di sini, nahas kau!” aku menolak budak bodo tu ke hadapan. Pantas dia melarikan diri. Macam ayam yang dilepaskan.
“Terima kasih abang. Terima kasih kerana sudah membantu saya. Kalau tidak pasti handphone pemberian kakak saya ni sudah diambil oleh mereka,” ucap budak kecil gemuk tu pada ku. Aku tersenyum menatap wajahnya.

Episode 02

Perjalanan kami mengambil masa lebih kurang 20 minit rasanya. Di dalam kereta aku tak banyak bercakap sebabnya aku tertidur. Sedar-sedar, kami sudah sampai. Selepas membetulkan penampilan ku yang agak terganggu ketika tidur tadi, aku keluar dari kereta ku. Di luar kereta seperti biasa Black dan lima budaknya sudah sedia menjaga aku dari kanan dan kiri.
Kami berhenti di sebuah bangunan lama yang sudah ditinggalkan. Di hadapan ku kelihatan seorang lelaki pertengahan 30-an sedang tertunduk takut. Cuak sebab buat salah la tu! Di sebelah kanan dan kiri orang tua itu berdiri dua konconya. Tengok muka memang tak boleh nak diharap. Muka seekor-seekor control cuak.
“Kita berjumpa lagi Razak! Awal pagi pula tu. Apa lagi kes kau kali ni?” tanya ku pada lelaki tua itu. Mata ku junamkan ke wajahnya.
“Maafkan saya tuan Resmanc. Sa…saya janji akan bayar semua hutang saya! Ampunkan saya tuan Resmanc! Tolonglah!” rayu Razak pada ku sambil melutut merendahkan maruahnya.
“Bangun Razak! Kau tak perlu sampai merendahkan martabat kau selaku orang lebih tua dari aku!” marah ku padanya. Pantas saja dia mengikut apa yang aku katakan tadi.
“Black. Sudah berapa lama dia tak bayar hutang judi dia?” tanya ku selamba.
“Dia ni memang taik judi bos! Tapi suruh bayar, habuk pun takdak!” Black menjawab sebelum dia tersengih jahat. Perlahan-lahan aku mengalihkan pandangku padanya.
“Aku tanya sudah berapa bulan dia tak bayar hutang dia la!” balas ku dengan wajah tegang. Tak sudah-sudah pekak dia ni dari kecik! Nasib baik la kawan baik aku. Kalau tak dah lama aku kurung dalam kandang beruang!
“Maaf bos. Er…mengikut kiraan saya, sudah hampir lima bulan dia tak bayar satu sen pun hutang dia.” Black masih boleh menjawab dengan penuh selamba. Hampeh betul!
“Lima bulan?! Lama tu Razak. Jadi rasa-rasanya bila la agaknya kau nak bayar hutang kau tu?” Aku bergerak mendekati Razak. Dua orangnya cuba untuk bergerak menghalang ku. Pantas pula orang-orang Black mengeluarkan pistol masing-masing. Terundur orang-orang Razak. Aku lalu tersenyum.
“Aku janji lusa aku bayar. Tolonglah! Tolonglah beri aku sedikit waktu lagi.” Razak cuba berunding dengan aku. Aku tidak segera menjawab. Otak ku suruh berfikir. Walaupun tidak bersungguh kerana aku sudah muak mendengar rundingan seperti ini. Sudahnya terpaksa juga aku gunakan kekerasan baru reti nak bayar hutang.
“Sudahlah! Bos, biar saya belasah aje orang tua taik judi ni dengan orang-orang dia tu!” baran Black meminta izin dari ku.
“Biarkan dorang Black. Baiklah…Aku bagi kau masa sampai lusa. Kalau tak ada juga, aku akan jejak kau sampai ke lubang cacing. Faham?!” agak tinggi suara aku memberikan amaran keras itu kepada Razak. Dia mengangguk tanda faham.
“Sudah. Mari semua bergerak!” Aku lalu berjalan menuju ke kereta. Sepanjang langkah ku, orang-orang Black masih berkawal. Sehinggalah aku selamat masuk ke dalam kereta. Dari dalam kereta aku sempat melihat Razak tergesa-gesar melangkah masuk ke dalam keretanya yang tidak jauh dari situ.

“Buang masa betul la orang tua tadi tu bos! Buat penat saya dengan budak-budak lain nak menagih hutang judi dia. Saya dah rasa macam along dah. Siot betul!” rungut Black ketika kami sedang singgah minum di sebuah restoran mewah di tengah bandar Lifey. Restoran ini adalah antara yang ku gemari. Nasi goreng udang dia sedap betul.
“Nak buat macam mana. Dah tugas kamu. Aku ni lagi la. Sepatutnya aku tak payah nak susah-susah turun padang menagih macam tu. Aku ni ketua keluarga Resmanc tau! Kalau ketua kongsi gelap lain tengok malu aku!” balas ku.
“Itu saya tahu bos. Tapi itu yang buat bos ni berbeza dengan ketua yang lain. Sebab bos ni mesra dengan orang-orang bos. Sanggup tolong orang kanan tagih hutang. Terima kasih banyak bos,” ucap Black sambil tersengih macam kambing jantan.
“Mesra tengkorak kau! Kalau tak kerana kita ni kawan baik, tak adanya aku nak turun padang semata-mata nak menagih hutang macam tu tadi. Kalau nak ikutkan hati aku ni, nak jugak aku kurung kau dan orang tua tu dalam kandang beruang,” aku membalas.
“Janganlah macam tu bos. Kita kan kawan baik dari kecik lagi. Bos ingat tak siapa yang selamatkan bos masa kita kena kejar anjing uncle Ah Tong tu dulu? Siapa yang tolong menipu untuk bos setiap kali kantoi escape sekolah dulu?” ungkit si lahabau tu sambil tersengih. Akhirnya membuatkan aku tersenyum. Mangkuk ni memang selalu boleh buat aku tersenyum. Itu yang membuatkan aku sayang dengan dia sebenarnya. Aku dah anggap mangkuk ni macam adik aku sendiri memandang aku lebih tua dari dia setahun.
Bunyi deringan handphone Black memotong perbualan kami. Cepat-cepat mangkuk tu mengeluarkan handphonenya dari poket seluar. Tertunduk-tunduk dia menjawab panggilan itu.
“Hello sayang,”
“…”
“Sayang nanti abang call balik ye, abang tengah meeting sekarang ni. Sorry sayang…I luv u,” ujar Black dengan suara yang lembut sekali. Sekali tengok dan dengar terasa gatal tangan aku nak menampar muka yang tersenyum-senyum sendiri itu. Langsung hilang keganasannya yang dikenali seluruh bandar Lifey ini. Macam ni pun, mangkuk ni gangster yang paling digeruni di bandar ni.
Sorry bos. Buah hati call tadi.” Tersengih Black memberitahu ku.
“Boleh tak aku tanya kau sesuatu?” ujar ku.
“Nak tanya banyak pun tak kisah bos. Macam tak biasa pulak bos ni minta-minta izin pulak,” balas Black. Aku berdehem beberapa kali sebelum mengajukan soalan ku.
“Apa yang hebatnya punya kekasih?” Tercengang Black mendengar soalan ku itu. Hampeh betul!
“Bos tanya saya betul ke ni? Ke bos saja nak melawak?”
“Tak ada la. Aku memang ingat nak masuk rancangan raja lawak tu nanti. Kau ada kenal orang dalam tak?” balas ku dengan rasa yang agak bengang.
“Kalau kat Astro, rasanya saya ada orang dalam bos. Tapi kenapa tiba-tiba bos nak masuk raja lawak pulak?.” Dia boleh ingat aku cakap betul pulak! Nak jugak aku tembak hidung mangkuk hayun ni!
“Aku bukan nak masuk rancangan tu betul-betul la bangang! Aku tanya kau apa yang hebatnya ada awek la syaitan!” marah ku tapi dengan nada yang masih terkawal.
“Oppss?! Sorry sangat-sangat bos. My mistake.” Selamba je mangkuk tu cakap macam tu.
My mistake opah kamu!” balas ku.

Episode 01


13/5/2009… Hari pertama…

Dear diari…Hari ini adalah hari jadi aku yang ke 24. Dah tua rupanya aku. Sebagai ketua keluarga Resmanc, aku wajib mengadakan party besar-besaran. Tujuannya hanya satu. Ingin menunjukkan kebesaran dan kemegahan keluarga ku pada keluarga-keluarga yang lain.
Sebenarnya aku agak kekok menulis di buku merah ini. Ianya adalah pemberian dari seorang kawan baik yang bernama Adryan. Kawan ku yang sering memberikan aku kata-kata semangat untuk terus berjuang. Sayang aku tak dapat nak pujuk dia untuk masuk ke dalam keluarga ku. Mungkin dia risaukan keselamatan keluarganya.
Ini adalah pertama kali aku menulis diari. Seumur hidup ku, aku tidak pernah termimpi untuk memiliki sebuah diari. Aku sendiri pun tak tau kenapa hati aku tergerak nak menulis di dalam diari ni? Adakah aku yang bodo sebenarnya? Tapi kalau aku bodo, tak ada la keluarga aku boleh jadi sebuah keluarga yang paling besar dan digeruni di seluruh bandar Lifey ini. Ya! Aku tak bodo. Tapi diari ini yang bodo.!
Apa lagi la yang aku nak tulis dalam diari bodo ini agaknya? Oo…aku lupa, dalam party hari jadi aku tadi, ada seorang awek yang budget hot nak berkenalan dengan aku. Tapi sorry la. Tak berminat la siot. Banyak lagi perkara yang penting untuk aku fikirankan. Perempuan? Memang senang untuk aku dapatkan. Tapi apa gunanya? Aku tidak mahu jadi seperti arwah ayah ku yang tua kutuk itu. Kaki perempuan sampai emak meninggal makan hati dengan dia. Hampeh betul!
Ok la dulu. Aku nak tido. Esok ada hal penting aku nak buat…
Aku berhenti menulis. Aku kemudian menyimpan buku merah pemberian Adryan itu ke dalam laci meja. Aku sebenarnya malas nak ke bilik khas ku ni. Sebab jauh dari bilik tidur. Rumah aku ni besar sangatlah! Aku ingat nak beli rumah sederhana kecil sajalah kalau aku dah bersara jadi ketua kongsi gelap ni. Penat siot! Nak melayan karenah orang yang tidak puas hati dan yang nak menguasai dunia kongsi gelap la konon. Pantang la nampak orang berjaya, ada saja yang datang mencabar.
Malam sudah semakin larut. Mungkin sudah pagi ketika aku baru sahaja hendak melelapkan mata. Tidak cukup tidur sudah menjadi perkara biasa buat ku. Ketua kongsi gelap yang kuat tidur hanya akan mengundang maut tidur di sebelahnya.
Pagi itu aku bangun dengan penuh mamai sekali. Mengantuk tak sudah aku. Tidur berapa jam saja malam tadi. Malam ke pagi aku tidur semalam? Entah la. Malas aku nak fikir.
Belum pun aku sempat berbuat apa-apa, mata ku sudah dicemari oleh wajah hodoh si Black atau nama sebenarnya Hassan. Dia ni orang kanan aku, merangkap kawan baik ku dari kecil lagi. Bapa dia dulu orang kanan bapa aku. Sekarang ni dia pula jadi orang kanan aku. Berapa banyak orang kanan sudah aku sebut tadi?
“Selamat pagi Resmanc!” tegur Black dengan senyuman kerang busuknya. Aku hanya mengukir senyuman selamba lalu turun dari katil.
“Budak-budak semua sudah sedia?” tanya ku dengan penuh macho.
“Semua sudah lama bersedia bos!” balas Black.
“Kalau macam tu, bagi aku sepuluh minit untuk bersiap. Kau pergi tunggu dengan lain di bawah,” arah ku.
Usai bersiap, aku turun ke tingkat bawah rumah agam ku yang besar ni. Buat penat aku berjalan saja. Di ruang tamu, Black dan lima orang anak buahnya sudah pun duduk menunggu aku di sofa masing-masing sambil minum pepsi setin seorang. Melihat kelibat ku, semua mereka pantas berdiri.
“Selamat pagi tuan!” ujar mereka semua lalu memberikan aku tunduk hormat.
“Selamat pagi semua. Cepat habiskan minuman korang semua! Sekarang sudah masa bekerja!” arah ku dengan tegas.
Nyaris tergelak juga aku tengok seekor-seekor cuba menghabiskan minuman tin bergas dorang tu. Ada seorang tu dah macam muka tapir salah makan je aku tengok. Tapi aku terpaksa kawal macho selaku ketua mereka semua.
Di luar rumah sudah tersedia sebuah kereta Mercedez warna hitam ku. Kalis peluru. Tapi belum tentu dapat menyelamatkan aku sepenuhnya. Baknya musuh baling bom tangan? Mampus aku dalam tu.
Di hadapan kereta ku tu, sebuah kereta Honda Vigor juga berwarna hitam. Setelah semuanya bersedia, lalu kami pun bergerak ke destinasi yang sepatutnya kami tuju. Tempat di mana aku ada urusan yang tak selesai dan perlu diselesaikan. Apa yang aku cakap ni? Biasalah, mengantuk masih tersisa. Fuh! Ayat sastera aku di situ.

PROJEK YANG AKU PANGGIL NOVELOG!!!!

Salam buat semua. Sebelum ini, pada blog ku yang dahulu, aku pernah memberitahu yang aku akan membuat satu projek yang aku namakan sebagai projek novelog. Sebelum aku menjadi penulis, inilah yang aku lakukan pada blog aku. Menulis cerpen-cerpen pendek yang bertemakan komedi seram. Aku tetap seronok menulis pada ketika itu walaupun tahu aku tidak akan menerima sebarang royalti untuk hasil karya ku itu. Namun seperti yang aku katakan, aku menulis untuk menghiburkan pembaca yang sudi membuang masa mereka untuk membaca cerita ku. Oleh itu, sebagai membalas jasa semua pembaca yang telah mengsold outkan buku di kedai-kedai buku seperti MPH dan POPULAR, aku cuba untuk hiburkan kalian dengan projek yang aku panggil sebagai novelog...Kalau sebelum ini aku pernah berkata aku hanya akan memulakan projek ini sekiranya aku mendapat sekurang-kurangnya 7 komen yang setuju dari pengomen yang berbeza dan followers sebanyak at least 4, aku batalkan niat itu kerana...takde sapa pun yang nak beri respond hahaha..takpe, mungkin anda semua belum terbuka hati pada ketika itu (ayat sedapkan hati sendiri ahaks). Jadi dengan muka tak malunya aku dengan rasminya akan memulakan projek ini. Semoga yang sudi membaca akan terhibur. Tajuk Novelog aku kali ini adalah Diari Seorang Ketua Kongsi Gelap. Panjang bukan? Ya...itulah tajuknya.