Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Episode 5

Seksyen 23, Shah Alam, Selangor….

Amru berjalan keluar dari Pena Berbulu Senyum Publication dengan langkah yang agak malas dan longlai. Hari ini ketabahan dan semangatnya tercabar lagi. Hari ini juga telah melengkapkan lapan penerbit yang menolak hasil karyanya. Dia belum tahu hendak ke mana lagi selepas ini.
Hendak meneruskan pencariannya, terasa tidak punya kemahuan. Dia terus berjalan tanpa arah yang pasti. Hanya mengikuti saja tuju langkahnya. Fikirannya terasa buntu. Tiada rancangan yang terlintas di benaknya pada ketika itu.
“Hidup ini kadang-kadang pelik bukan? Ada kalanya terasa tidak adil,” seorang pengemis menegurnya ketika dia baru sahaja hendak melabuhkan punggungnya di kerusi sebuah pondok menunggu bas berdekatan. Walaupun sebenarnya bukan niat Amru menunggu bas.
Amru hanya memerhatikan pengemis itu dengan senyuman mesra. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Kawasan sekitar juga kelihatan agak lengang. Mungkin kerana waktu pada masa itu baru pukul 9.30 pagi. Pengemis itu lalu duduk di sebelah kanan Amru.
“Yelah! Orang yang ada semangat untuk mengubah hidup dia dengan bakat yang ada tetapi tidak tercapai akan hasratnya. Sedangkan ada penulis yang rasanya tidak layak untuk memegang gelarannya.” Kata-kata pengemis lelaki itu kini berjaya menarik perhatian Amru.
“Apa maksud pak cik,” soal Amru dengan penuh minat.
“Aku rasa kamu faham apa maksud aku. Kau mahu jadi seorang penulis bukan?” Pengemis tua itu menyoal Amru pula.
“Mana pak cik tahu?” Hairan Amru.
“Aku tahu la. Aku nampak kamu baru keluar dari bangunan itu!” Pengemis itu menudingkan jarinya ke arah Pena Berbulu Senyum Publication. Membuatkan Amru tersenyum sendiri.
“Boleh aku tahu kenapa kau mahu sangat jadi penulis hah? Apa niat sebenar kau? Duit? Nama? Atau perempuan?” Sekali lagi pak cik pengemis itu menanya Amru.
“Saya menulis bukan kerana semua itu pak cik. Kalau kerana duit mungkin tapi tidak sepenuhnya. Hanya untuk cukup menyara hidup saya, emak dan adik saya. Tujuan utama saya ingin menjadi penulis adalah kerana saya ingin berkongsi ilham saya pada semua orang dan menghiburkan mereka semua dengan cerita saya,” luah Amru pada pengemis tua itu dengan sejujurnya.
Pengemis tua itu lantas ketawa terbahak. Mengundang rasa kurang senang pada Amru yang berada di sebelahnya. Lalu pengemis itu bangun dari duduk dan berdiri di hadapan Amru. Dia masih ketawa sendiri.
“Kenapa pak cik gelakkan saya?”
“Kamu ini jujur sangat la! Kelakar aku dengar!” pengemis itu ketawa lagi.
“Salahkah saya punya cita-cita dan hasrat yang begitu?!” jerkah Amru. Jiwanya memberontak apabila pengemis tua itu seperti memperlekeh dan mengetawakan cita-cita dan impiannya itu.
Tawa pengemis itu padam setelah dia mendengar suara Amru yang keras itu. Wajah pengemis berubah serius dan pandangan matanya tajam. Amru mula merasa serba salah dengan tindakannya sebentar tadi.
“Kita akan berjumpa lagi wahai orang muda yang jujur!” pengemis tua itu kemudian ketawa lagi. Orang tua itu kemudian meluru ke arah jalan raya. Kebetulan sebuah lori mengangkut simen sedang bergerak laju menuju ke arah pengemis tua itu berlari.
“Pak cik jangan!!!” Amru menjerit ketakutan. Dia lantas bangun dan cuba untuk menghalang orang tua itu. Namun sudah tidak sempat kerana orang tua itu sudah pun berada di tengah jalan raya dengan lori sepuluh tan sudah semakin hampir.
Dengan pantas lori yang berwarna biru itu melanggar pengemis tua. Jantung Amru hampir terhenti berdegup melihat semuanya berlaku di depan matanya.
Namun sesuatu yang lain telah mengejutkan Amru. Sebaik sahaja lori besar itu bergerak melalui pengemis tua itu, tiada apa yang tertinggal di jalan raya. Tidak setitis darah pun. Lori itu seperti melanggar angin. “Macam mana orang tua itu boleh hilang begitu saja?” Gumam Amru sendiri.

0 comments:

Post a Comment