Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Aduhai...cerita macam ni lagi!!!!

Salam buat semua rakan-rakan yang baik hati dan comel2 semua bak kata Cik Husna di blog beliau. Diharap kalian semua berada dalam keadaan sihat sejahtera. Selepas membaca inti pati blog Cik Husna Adnan, diri ini terpanggil untuk menulis entri kali ini.

Sepanjang seminggu lepas, aku banyak menghabiskan masa hidup ku dengan menonton filem dan buku atau novel tempatan dan luar negara. Kerana perasaan bosan yang agak melampau, aku lalu cuba untuk menjadi seorang pengkaji yang tidak bertauliah. Aku cuba untuk merumuskan semua yang telah aku saksikan dengan biji mata ku. Dan aku mengeluarkan ayat ini.
"Aduhai...cerita macam ni lagi! Tengok tak sampai separuh dah boleh baca jalan ceritanya. Bosan betullah!" kata ku sendiri.
Aku sebenarnya seorang sangat tidak memilih dalam bab makanan dan pakaian. Akan tetapi aku sangat2 menjadi pemilih dalam bab filem dan buku atau novel yang bakal aku baca. Aku akan pastikan semuanya mempunyai kelainan hatta hanya 30% sekali pun. Aku paling kecewa bila aku melihat atau membaca sesuatu filem atau novel yang sama saja jalan ceritanya dengan kebanyakkan cerita yang lain. Ada sampai aku baru baca 20-30 page dah bleh agak apa ending dia.
Ramai member aku selalu komplen kenapa aku susah sangat nak tengok movie yang dorang semua nak dan suka tengok. Sebabnya mudah. Aku tidak mahu membuang duit dan masa aku menonton sesuatu yang sudah aku tonton suatu ketika dahulu. Contohnya macam wayang hantu melayu dan indonesia. Semuanya sama saja. Hanya mampu menjual elemen seram dan mengetepikan jalan cerita. Jalan cerita paling selalu diguna pakai, sekumpulan remaja pergi berkelah kat hutan then berlakulah kisah2 seram dan menakutkan. Kalau tak ending semua mati, ada seorang selamat. Habis unik pun salah seorang dari dorang tu rupanya pembunuh. BOSAN DAN MERUGIKAN!!!!
Sebab itulah aku menghasilkan INI BUKU SERAM!!! Maksud tersirat ku memilih tajuk itu adalah sebagai apa yang orang katakan sindiran buat pengkarya yang hanya mahu menjual elemen seram tanpa mempedulikan jalan cerita yang unik di mana ianya mampu untuk menceriakan lagi industri hiburan dunia kita.
Aku sengaja menggunakan beberapa babak cerita yang SANGAT SERING diguna pakai oleh pengkarya genre seram dan kemudiannya menghabiskan jalan cerita itu dengan sesuatu yang sukar dijangka. Kepada sesiapa yang sudah membaca buku ku itu, pasti mengerti akan apa yang aku sedang bebelkan ini.
Setiap bulan, berpusu-pusu filem baru dan novel baru mengasak masuk ke dalam industri hiburan kita. Namun untuk menyaksikan sesuatu yang baru dan unik, sangat2 sikit jumlahnya. Bukan nak kata diri aku hebat, tapi sekadar ingin meluahkan sesuatu yang sudah lama terbuku di hati ku. Sejak di bangku sekolah lagi kau...
Ada filem dan novel tu tajuk bukan main lagi. Ganas dan sangat menarik perhatian, tapi bila baca dan tonton, sama jugak jalan cerita dia macam filem dan novel aku pernah baca dulu. Aku tak tau korang semua la, tapi bagi aku ianya sama seperti pasir yang bakal menguburkan dunia industri hiburan kita. Di mana akhirnya kita hanya melihat dan terkagum dengan istana pasir. Bentuk cantik dan pelbagai tapi warnanya sama saja.
Ada satu hari tu aku tengah berdiri di depan tv kecik dalam cinema. Memilih filem apa yang hendak ditonton. Terdengar beberapa orang remaja sekolah menengah berbual memuji sebuah filem tempatan.
"Cerita ni seram betul! Meremang bulu roma tengok. Memang inilah wayang yang paling seram malaysia penah buat." Beria si remaja memuji. Tanpa berfikir semua rakan2nya membeli tiket untuk filem yang dia maksudkan.
Aku melirik tajuk filem yang dia puji gile2 tu. Membuatkan aku mengeluh panjang. SANTAU!!!!!
Kalau setakat wayang macam tu dia cakap unik dan paling hebat pernah dibuat...samalah dia seperti memuji sekeping roti canai dan mengatakan itulah hidangannya yang paling hebat pernah dibuat Malaysia. Kalau takat cerita orang kena santau dik...dah banyak orang buat dah dik oiiiii!!!!!!!
Setakat ini hanya beberapa buah karya tempatan yang mampu membuatkan aku tersenyum puas selepas menikmatinya. Huh?! Sungguh lain bunyi ayat itu?! Abaikan. Namun aku masih sedikit kecewa kerana masih terlalu sedikit dari negara kita. Mungkin kerana sekatan jalan cerita yang dikenakan oleh FINAS membataskan imiginasi pengkarya kita. Contohnya macam BOOK ELI. Filem itu sangat berbaloi dan unik. Tidak pernah kita terfikir apa akan jadi sekiranya hanya tinggal sebijik Al-Quran di dalam dunia ini dan ianya dipegang oleh seorang yang digerakkan hatinya untuk pergi ke satu tempat di mana dia boleh mengulang cetak naskah Al-Quran itu.(inilah adalah jalan cerita Book Eli cumanya aku tukarkan Bibble kepada Al-Quran supaya lebih sedap kita membincangkan tentang jalan ceritanya). Ending cerita itu juga sangat unik! Suka sangat tengok filem itu.
Aku rasa dah2 la aku membebel ni. Penat lak aku. Akhir kata dari aku, kepada semua rakan seperjuangan di dalam dunia hiburan dan penulisan, marilah kita semua mengkaji semua karya2 kita agar ianya lebih unik dan berbaloi kepada pembaca dan pembeli setia kalian semua. Kerana tanpa mereka, karya kita semua tidak akan jadi begitu istimewa...All da best for all of u guys!!!!

Syaakur - Pejuang Dua Dunia


Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Akhirnya novel pertama ku bersama PTS FORTUNA sudah selamat dicetak dan akan menemui pembaca pada 18 JUN 2010. Terima kasih kepada pihak PTS FORTUNA dan juga tuan editor yang sudah bertungkus-lumus membetulkan dan mempercantikkan karya aku. Hah...inilah karya yang aku cakap kalau korang baca mesti korang ingat bukan karya aku. Sebab aku buat serius punya karya. Tapi jangan risau dan kecewa, novel ini ada sambungannya, dan aku dah plan baek punya nak melawak sikit dalam episode kedua. Kepada semua pembaca buku aku bersama KARNADYA, aku harap korang sudi mendapatkan novel fantasi aku bersama PTS FORTUNA ini juga ye...hehehehe...aku harap karya aku kali ini mampu memberikan manfaat kepada pembaca. Untuk preview lengkap, silalah ke http://www.pts.com.my/ pergi ke ruangan senarai buku AKAN TERBIT. Salam buat semua....

IBS Ep.2 - Hantu Membawa Batu Nissan

Tora datang lagi!!! Hahahaha...Semoga terhibur dengan projek baru aku ni...

INI AUDIO SERAM - Ep.1 - Darakula



Terimalah sebuah projek hilang akal aku. Diharap semua terhibur. Kepada Alif, terimalah video pembalasan aku seperti yang aku janjikan. Nantikan episode yang mendatang. Aku cuba berikan yang terbaik kepada semua pengunjung dan pembaca setia ku. Kerana anda semua yang memberikan aku semangat untuk terus berjuang....

3 hantu silap mata!!!

Pada hari Ahad yang lepas, seperti yang dirancang pada hari2 sebelumnya, aku, Alif, Ismail dan dia yang tersayang telah berhimpun di awal pagi yang hening bagi melakukan shooting filem pendek terbaru Alif yang bertajuk 3 HANTU SILAP MATA!!! Memang penat dan panas ketika melakukan pengambarannya, tapi semua itu tidak terasa kerana kesengalan otak masing2 yang sudah terlebih masuk air. Hinggakan tidak mempedulikan persepsi orang lain di sekeliling. Insya'Allah filem ini akan ditayangkan pada bulan ogos ini di MASKARA SHORTIES yang berlangsung di rumah pena. Kepada Alif, kalau kau nak hantar filem kita tu ke pejabat Afdlin Shauki, ajak aku sekali. Aku nak bagi tandatangan aku kat dia hahahahaha....Sebab aku minat gile kat dia, walaupun dia tak pernah minat kat aku jauh sekali membaca buku ku...

Episode 5

Seksyen 23, Shah Alam, Selangor….

Amru berjalan keluar dari Pena Berbulu Senyum Publication dengan langkah yang agak malas dan longlai. Hari ini ketabahan dan semangatnya tercabar lagi. Hari ini juga telah melengkapkan lapan penerbit yang menolak hasil karyanya. Dia belum tahu hendak ke mana lagi selepas ini.
Hendak meneruskan pencariannya, terasa tidak punya kemahuan. Dia terus berjalan tanpa arah yang pasti. Hanya mengikuti saja tuju langkahnya. Fikirannya terasa buntu. Tiada rancangan yang terlintas di benaknya pada ketika itu.
“Hidup ini kadang-kadang pelik bukan? Ada kalanya terasa tidak adil,” seorang pengemis menegurnya ketika dia baru sahaja hendak melabuhkan punggungnya di kerusi sebuah pondok menunggu bas berdekatan. Walaupun sebenarnya bukan niat Amru menunggu bas.
Amru hanya memerhatikan pengemis itu dengan senyuman mesra. Hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ. Kawasan sekitar juga kelihatan agak lengang. Mungkin kerana waktu pada masa itu baru pukul 9.30 pagi. Pengemis itu lalu duduk di sebelah kanan Amru.
“Yelah! Orang yang ada semangat untuk mengubah hidup dia dengan bakat yang ada tetapi tidak tercapai akan hasratnya. Sedangkan ada penulis yang rasanya tidak layak untuk memegang gelarannya.” Kata-kata pengemis lelaki itu kini berjaya menarik perhatian Amru.
“Apa maksud pak cik,” soal Amru dengan penuh minat.
“Aku rasa kamu faham apa maksud aku. Kau mahu jadi seorang penulis bukan?” Pengemis tua itu menyoal Amru pula.
“Mana pak cik tahu?” Hairan Amru.
“Aku tahu la. Aku nampak kamu baru keluar dari bangunan itu!” Pengemis itu menudingkan jarinya ke arah Pena Berbulu Senyum Publication. Membuatkan Amru tersenyum sendiri.
“Boleh aku tahu kenapa kau mahu sangat jadi penulis hah? Apa niat sebenar kau? Duit? Nama? Atau perempuan?” Sekali lagi pak cik pengemis itu menanya Amru.
“Saya menulis bukan kerana semua itu pak cik. Kalau kerana duit mungkin tapi tidak sepenuhnya. Hanya untuk cukup menyara hidup saya, emak dan adik saya. Tujuan utama saya ingin menjadi penulis adalah kerana saya ingin berkongsi ilham saya pada semua orang dan menghiburkan mereka semua dengan cerita saya,” luah Amru pada pengemis tua itu dengan sejujurnya.
Pengemis tua itu lantas ketawa terbahak. Mengundang rasa kurang senang pada Amru yang berada di sebelahnya. Lalu pengemis itu bangun dari duduk dan berdiri di hadapan Amru. Dia masih ketawa sendiri.
“Kenapa pak cik gelakkan saya?”
“Kamu ini jujur sangat la! Kelakar aku dengar!” pengemis itu ketawa lagi.
“Salahkah saya punya cita-cita dan hasrat yang begitu?!” jerkah Amru. Jiwanya memberontak apabila pengemis tua itu seperti memperlekeh dan mengetawakan cita-cita dan impiannya itu.
Tawa pengemis itu padam setelah dia mendengar suara Amru yang keras itu. Wajah pengemis berubah serius dan pandangan matanya tajam. Amru mula merasa serba salah dengan tindakannya sebentar tadi.
“Kita akan berjumpa lagi wahai orang muda yang jujur!” pengemis tua itu kemudian ketawa lagi. Orang tua itu kemudian meluru ke arah jalan raya. Kebetulan sebuah lori mengangkut simen sedang bergerak laju menuju ke arah pengemis tua itu berlari.
“Pak cik jangan!!!” Amru menjerit ketakutan. Dia lantas bangun dan cuba untuk menghalang orang tua itu. Namun sudah tidak sempat kerana orang tua itu sudah pun berada di tengah jalan raya dengan lori sepuluh tan sudah semakin hampir.
Dengan pantas lori yang berwarna biru itu melanggar pengemis tua. Jantung Amru hampir terhenti berdegup melihat semuanya berlaku di depan matanya.
Namun sesuatu yang lain telah mengejutkan Amru. Sebaik sahaja lori besar itu bergerak melalui pengemis tua itu, tiada apa yang tertinggal di jalan raya. Tidak setitis darah pun. Lori itu seperti melanggar angin. “Macam mana orang tua itu boleh hilang begitu saja?” Gumam Amru sendiri.

Episode 4

Wilayah Persekutuan Labuan…


Satu perjumpaan di antara puak-puak hantu di Labuan telah berjaya diaturkan oleh Maimun, hantu dari puak Pontianak. Sebuah villa usang yang telah lama ditinggalkan menjadi tempat perjumpaan tergempar itu dilangsungkan.

Bilik utama di tingkat atas villa menjadi pilihan. Di mana di situ terdapat sebuah meja makan yang besar dan berbentuk bujur. Ianya mampu memuatkan sebanyak dua belas kerusi mengelilinginya. Meja itu dan kerusinya diperbuat daripada kayu jati yang sangat berkualiti. Buktinya, ia masih kelihatan teguh dan cantik walaupun sudah lama terbiar di dalam villa itu. Terdapat juga ukiran-ukiran yang berbentuk bunga pada meja dan kerusi.

Pada perjumpaan itu, hanya seramai lapan ketua puak yang hadir. Mereka terdiri daripada ketua dari puak Pontianak, Langsuir, Toyol, Pocong, Orang minyak, Hantu raya, Hantu kopek dan Saka.

“Ada apa kau memanggil kami semua ke mari Timah?” tegas Salehah, ketua puak Langsuir bersuara.

“Pertama sekali saya meminta maaf kerana mengambil masa saudara sekalian untuk berada di sini. Tujuan saya mengatur perjumpaan ini adalah untuk membincangkan tentang perkara-perkara pelik dan dahsyat yang telah berlaku di negeri kita ini,” ujar Timah bagi menjawab soalan yang dilemparkan oleh Salehah sebentar tadi.

“Aku harap perjumpaan ni tak membuatkan masa kami terbuang sia-sia!” sindir Salehah pula. Dia cuba menguji kesabaran ketua puak Pontianak itu.

“Kau boleh bagi si Timah tu bercakap dulu tak Lehah?! Aku calit juga minyak di celah ketiak aku ini ke muka kau karang!” Bob, ketua puak Orang minyak membalas.

“Yang kau pula nak marah kenapa?! Kau nak aku bakar kau ke? Ke aku perah minyak di badan kau itu dan jual ke stesen Petronas yang berdekatan?” lancang Salehah menjawab.

“Diam!!!” Akhirnya kesabaran Timah sudah tidak dapat dibendung lagi. Semua terdiam mendengar jeritan nyaringnya itu.

“Kalau kamu semua terus menjerit macam ini sampai bila kita akan tahu tujuan kita semua berkumpul? Baik aku balik saja,” ketua puak Saka, Salim, akhirnya bersuara.

“Betul kata Salim itu. Buang masa saja aku mendengar kamu berdua ini bertekak macam budak-budak,” sokong Helmi, ketua puak Hantu raya.

“Teruskan Timah.” Arah Fahmie pula, ketua puak Pocong.

“Begini…Hari ini salah seorang dari orang aku ditemui mati berdekatan dengan Kampung Seri Serai. Mayatnya hampir terputus dua…” belum sempat Timah menghabiskan ayatnya, kedengaran Salehah mencelah.

“Jadi kau jemput kami semua ini sebab kau syak pada kami?!” Salehah semakin rancak cuba mewujudkan ketegangan.

“Lehah! Baik kau diam atau aku keluarkan jantung kau itu! Jangan cuba mencabar kesabaran aku!” Wajah Timah bertukar menjadi garang. Mata merahnya menyala bagaikan api yang terbakar. Tangannya pantas mengeluarkan kuku yang tajam dan panjang. Dia sudah bersedia untuk menyerang.

“Kau juga jangan cuba hendak mencabar kekuatan aku Timah!” Salehah juga berubah riak menjadi garang dan menggerunkan. Tangannya lantas menjadi sebilah parang yang tajam. Keadaan semakin tegang antara mereka berdua.

“Sampai bila kamu berdua hendak memperbodohkan diri kamu dengan perangai kamu yang macam budak-budak berebutkan gula-gula ini hah?!” Tiba-tiba kedengaran satu suara garau menegur ulah Timah dan Salehah. Walaupun nadanya bersahaja, tetapi mampu menggegarkan jantung semua yang ada di situ.

“Tu…tuan Kanung. Selamat datang ke perjumpaan kami ini,” ucap Zubaidah, ketua puak Hantu Kopek.