Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Episode 4

Wilayah Persekutuan Labuan…


Satu perjumpaan di antara puak-puak hantu di Labuan telah berjaya diaturkan oleh Maimun, hantu dari puak Pontianak. Sebuah villa usang yang telah lama ditinggalkan menjadi tempat perjumpaan tergempar itu dilangsungkan.

Bilik utama di tingkat atas villa menjadi pilihan. Di mana di situ terdapat sebuah meja makan yang besar dan berbentuk bujur. Ianya mampu memuatkan sebanyak dua belas kerusi mengelilinginya. Meja itu dan kerusinya diperbuat daripada kayu jati yang sangat berkualiti. Buktinya, ia masih kelihatan teguh dan cantik walaupun sudah lama terbiar di dalam villa itu. Terdapat juga ukiran-ukiran yang berbentuk bunga pada meja dan kerusi.

Pada perjumpaan itu, hanya seramai lapan ketua puak yang hadir. Mereka terdiri daripada ketua dari puak Pontianak, Langsuir, Toyol, Pocong, Orang minyak, Hantu raya, Hantu kopek dan Saka.

“Ada apa kau memanggil kami semua ke mari Timah?” tegas Salehah, ketua puak Langsuir bersuara.

“Pertama sekali saya meminta maaf kerana mengambil masa saudara sekalian untuk berada di sini. Tujuan saya mengatur perjumpaan ini adalah untuk membincangkan tentang perkara-perkara pelik dan dahsyat yang telah berlaku di negeri kita ini,” ujar Timah bagi menjawab soalan yang dilemparkan oleh Salehah sebentar tadi.

“Aku harap perjumpaan ni tak membuatkan masa kami terbuang sia-sia!” sindir Salehah pula. Dia cuba menguji kesabaran ketua puak Pontianak itu.

“Kau boleh bagi si Timah tu bercakap dulu tak Lehah?! Aku calit juga minyak di celah ketiak aku ini ke muka kau karang!” Bob, ketua puak Orang minyak membalas.

“Yang kau pula nak marah kenapa?! Kau nak aku bakar kau ke? Ke aku perah minyak di badan kau itu dan jual ke stesen Petronas yang berdekatan?” lancang Salehah menjawab.

“Diam!!!” Akhirnya kesabaran Timah sudah tidak dapat dibendung lagi. Semua terdiam mendengar jeritan nyaringnya itu.

“Kalau kamu semua terus menjerit macam ini sampai bila kita akan tahu tujuan kita semua berkumpul? Baik aku balik saja,” ketua puak Saka, Salim, akhirnya bersuara.

“Betul kata Salim itu. Buang masa saja aku mendengar kamu berdua ini bertekak macam budak-budak,” sokong Helmi, ketua puak Hantu raya.

“Teruskan Timah.” Arah Fahmie pula, ketua puak Pocong.

“Begini…Hari ini salah seorang dari orang aku ditemui mati berdekatan dengan Kampung Seri Serai. Mayatnya hampir terputus dua…” belum sempat Timah menghabiskan ayatnya, kedengaran Salehah mencelah.

“Jadi kau jemput kami semua ini sebab kau syak pada kami?!” Salehah semakin rancak cuba mewujudkan ketegangan.

“Lehah! Baik kau diam atau aku keluarkan jantung kau itu! Jangan cuba mencabar kesabaran aku!” Wajah Timah bertukar menjadi garang. Mata merahnya menyala bagaikan api yang terbakar. Tangannya pantas mengeluarkan kuku yang tajam dan panjang. Dia sudah bersedia untuk menyerang.

“Kau juga jangan cuba hendak mencabar kekuatan aku Timah!” Salehah juga berubah riak menjadi garang dan menggerunkan. Tangannya lantas menjadi sebilah parang yang tajam. Keadaan semakin tegang antara mereka berdua.

“Sampai bila kamu berdua hendak memperbodohkan diri kamu dengan perangai kamu yang macam budak-budak berebutkan gula-gula ini hah?!” Tiba-tiba kedengaran satu suara garau menegur ulah Timah dan Salehah. Walaupun nadanya bersahaja, tetapi mampu menggegarkan jantung semua yang ada di situ.

“Tu…tuan Kanung. Selamat datang ke perjumpaan kami ini,” ucap Zubaidah, ketua puak Hantu Kopek.

2 comments:

Okey, sudah baca semua episod. Hmm, memang pertama kali baca cerita tema yang begini. Wah, boleh tahan menariknya. Setiap episod berdiri dengan inti yang tersendiri. Saya langsung tak boleh bayangkan apa yang akan berlaku seterusnya. Cool! Teruskan usaha! ^_^

 

Terima kasih atas komennya cik Izanor. Sangat2 menghargainya. Saya hanya mahu cuba tema ini. Ini kerana ianya berkait rapat dengan tema manuskrip terbaru saya yang sedang ditulis.

 

Post a Comment