Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Episode 3

MPH, Midvalley, Kuala Lumpur…

Resmanc memeriksa penampilannya di depan cermin tandas awam. Usai berhias, dia lalu beredar sambil bernyanyi kecil. Lagu Mungkin Nanti Syanti Prythi dari kumpulan PeterPrakesh. Sebuah lagu yang menjadi siulan anak muda di zaman itu.
Hari ini Resmanc memakai baju formal yang cukup bergaya. Sut lengkap berjenama G2000 membuatkan dia kelihatan bukan sahaja bergaya tetapi mewah. Banyak mata yang memandangnya sepanjang perjalanannya ke MPH, kedai buku yang sedang mempromosikan bukunya.
“Masa aku belum jadi penulis dulu, takde siapa pun nak pandang aku. Sekarang ni, barulah awek-awek terasa nak memandang diri ku ini,” gumam Resmanc di dalam hati sambil tersenyum sendiri.
Memang banyak yang telah berubah semenjak dia bergelar penulis novel. Sejak dia berjaya menyandang gelaran ‘Penulis Novel Seram Nombor 1 Malaysia’, kehidupan Resmanc mendadak bertukar menjadi lebih selesa dan indah. Dia memiliki hampir segalanya. Rumah banglo dua tingkat lengkap dengan kolam renang, kereta mewah, simpanan yang beratus ribu, semua itu kini miliknya. Cuma isteri sahaja lagi yang belum mampu untuk dia miliki. Bukan kerana terlalu memilih, tetapi dia terlalu sibuk dengan jadual hariannya sehingga tidak punya banyak masa dan ruang untuk memikirkan tentang rumah tangga.
Resmanc tidak merasa terkejut apabila kehadirannya ke MPH, menjadi tumpuan ramai. Beberapa peminat fanatik menyerbunya. Ada yang mahu bergambar dan ada juga yang mahukan autograf. Dia bagaikan selebriti pada ketika itu. Mujur Resmanc bijak mengendalikan keadaan. Dengan ramah, dia menyuruh puluhan peminatnya yang rata-rata terdiri dari golongan hawa itu berbaris seperti yang lain untuk bergambar dan mendapatkan tandatangannya.
“Saya minat sangat dengan novel-novel awak!”
“Saya duduk kat depan MPH dari awal pagi tadi lagi bang. Ngam-ngam masa Midvalley ni baru nak bukak.”
“Abanglah idola saya dan adik saya!”
“Kerana karya awak saya jadi minat membaca.”
Semua pujian itu Resmanc terima dengan senyuman manis dan ucapan terima kasih. Walaupun sebenarnya dia sudah lali mendengar semua itu. Dia masih mampu untuk menjadi penulis yang menghargai setiap seorang peminatnya.
Bilangan peminat yang berbaris di hadapan meja di mana Resmanc duduk sudah semakin berkurangan. Entah mengapa perhatian Resmanc tertarik ke arah seorang budak lelaki yang memakai baju sweater hitam dan berseluar jeans biru yang lusuh, selang empat orang di hadapannya.
Wajah budak itu kelihatan serius. Pandangan matanya tajam. Resmanc menjadi tidak sabar untuk berhadapan dengan budak yang kelihatan pelik baginya itu. Dia tidak pernah mendapat peminat yang datang meminta autografnya dengan pandangan dan riak sebegitu. Membuakkan rasa minat untuk Resmanc bercakap dengan peminat mudanya itu.
“Hai adik! Datang seorang saja ke?” Resmanc menegur budak lelaki itu. Namun tiada jawapan.
Budak itu menghulurkan buku novel Resmanc yang terbaru. Resmanc terkedu sendiri. Dia lalu mencapai novel tersebut dan mula menulis tandatangannya pada helaian pertama novel yang punya banyak ruang kosong.
“Sudah berapa novel abang yang adik dah baca?” sekali lagi Resmanc cuba memulakan perbualan dengan anak muda itu.
“Semua sekali.” Akhirnya budak lelaki itu menjawab walaupun suram.
“Ye ke? Terima kasih sangat-sangat sebab meminati hasil karya abang. Abang sangat menghargainya,” Resmanc tersenyum mesra.
Tiada senyuman yang terukir pada bibir kecil anak muda itu. Masih muram seperti sebelumnya. Riak kosong dan pandangan tajam. Membuatkan Resmanc semakin merasa pelik. Namun dalam diam dia tertarik dengan perwatakkan peminat mudanya itu.
“Macam mana kau boleh menulis cerita tentang kami sedangkan kau tidak pernah percaya dengan kewujudan alam ghaib?” tiba-tiba saja anak muda itu menyoal Resmanc.
“Kenapa adik tanya macam tu? Abang memang minat dengan cerita-cerita misteri dan seram dik, tapi abang hanya anggap ianya tidak lebih dari hiburan semata-mata,” Resmanc menyatakan pandangannya tentang alam ghaib dan kewujudan hantu.
“Jadi kau tidak percaya kami semua ini wujud?” Soalan itu membuatkan Resmanc tergelak kecil. Geli hatinya melihat wajah comel anak muda itu yang cuba berlagak serius.
Anak muda itu mula menundukkan kepalanya sehingga hanya ubun-ubunnya sahaja yang kelihatan. Resmanc melihat dengan perasaan aneh.
“Adik…Adik kenapa? Adik ok ke tak?” lembut Resmanc bertanya. Dia kemudian berdiri dari kerusinya. Resmanc menghulurkan tangan kanannya untuk menyentuh bahu kiri peminat ciliknya yang aneh itu.
Belum sempat dia berbuat begitu, pantas budak lelaki itu mengangkat semula mukanya. Resmanc terundur kebelakang. Matanya terbelalak besar dan jantungnya berdebar dengan kencang. Tubuhnya seperti terkena sambaran petir mengejut.
Wajah comel anak muda itu kini tidak lagi kelihatan. Yang berdiri di hadapan Resmanc pada ketika itu adalah seorang budak lelaki berwajah ngeri dan menakutkan. Kulit mukanya hangus terbakar. Hitam legam dan menggerutu. Kelihatan ulat-ulat kecil mengesot di sekitar pipi dan celah atas dan bawah bibirnya yang diselaputi darah merah pekat. Matanya kelihatan merah memancar.
“Kau telah meraih keuntungan dan kesenangan atas cerita-cerita kami! Sekarang sudah tiba masanya untuk kau membayar semua itu!” suara budak lelaki itu kini kedengaran garau dan menggerunkan.
“Si..si..siapa kau?” gagap Resmanc menyoal.
Makhluk ngeri yang berada di hadapan Resmanc itu lantas tersenyum sinis. Dengan pantas dia terbang menerkam Resmanc.
“Tidakkkkkk!!!” Resmanc menjerit sekuatnya.
Semua peminat yang sedang berbaris terkejut. Masing-masing berbisik sesama sendiri. Resmanc memerhatikan keadaan sekeliling. Dia mencari makhluk ngeri yang menerkamnya sebentar tadi. Namun makhluk itu tidak kelihatan di mana-mana. Peluh membasahi dahi Resmanc. Jantungnya masih berdegup kencang. Dia tidak pernah berdepan dengan kejadian aneh sebegitu sepanjang hidupnya. Apa yang dia anggap tidak lebih dari bahan hiburan kini menghantuinya. Reaksi semua yang ada di situ sudah tidak dipedulikan lagi.

0 comments:

Post a Comment