Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

INI BUKU SERAM (The Series la Pulak!!!)

Episode 1...



Kampung Seri Serai, Wilayah Persekutuan Labuan…

Hari sudah larut malam. Satu masa yang amat sesuai untuk Saka dan Toyol keluar bersiar-siar. Sedari malam masih muda tadi lagi, dua makhluk itu diulit rasa sunyi dan bosan. Di bawah pokok ara yang rimbun daunnya, mereka berdua duduk memikirkan cara untuk menyingkirkan rasa itu.
“Yol. Kau takde aktiviti yang best sikit untuk kita lakukan ke? Tengah bosan gile ni bai,” rungut Saka pada Toyol.
“Kau ingat kau seorang je yang bosan? Jadi aku ni kau tengok tengah bersuka ria ke? Aku pun bosan jugak tau tak. Kau takkan takde plan baik punya?” Toyol bersuara.
“La kau ni! Kita tanya dia, boleh tanya kita balik pula,” ujar Saka dengan perasaan yang bengang.
Mereka berdua berdiam lagi. Hanya sekadar melayani fikiran kosong masing-masing. Tiada jawapan yang hadir di benak mereka. Jawapan yang mampu untuk mengikis rasa bosan dan sunyi mereka pada malam itu.
Angin malam semakin terasa dingin dan mencengkam. Kedinginan itu hingga terasa ke tulang. Namun semua itu tidak bererti buat dua mahkluk dari alam ghaib itu. Mereka tidak pernah merasakan kedinginan. Tidak selagi mereka bergelar mahkluk alam ghaib.
Kabus malam berlabuh perlahan di segenap kawasan. Membataskan penglihatan dan mampu menggamit rasa seram pada sesiapa yang berada di kawasan itu pada ketika ini. Jalan raya sehala yang menuju ke Kampung Seri Serai sunyi tanpa satu kenderaan pun yang melaluinya. Sesekali bunyian haiwan malam rancak kedengaran. Namun tidak mampu untuk memecah keheningan malam di situ.
Dari satu jarak yang agak jauh, tiba-tiba kedengaran suara wanita menjerit nyaring. Sepertinya dia sedang berhadapan dengan kesakitan yang amat sangat. Toyol yang mula-mula menangkap suara jeritan itu. Pantas dia memberitahu Saka yang sedang asyik mengorek telinganya dengan batang lalang yang lembut.
“Saka. Kau dengar apa yang aku dengar tadi? Suara orang menjerit la.” Agak cemas Toyol berkata-kata.
“Dengar. Rasa-rasa macam aku kenal suara itu. Macam suara…” Belum sempat Saka menghabiskan ayatnya, Toyol sudah mula berlari menuju ke arah suara itu. Tanpa banyak bicara, Saka mengekori sahabatnya itu.
Semak samun yang agak tebal mereka redahi. Rasa ingin tahu yang mendadak bergolak di hati membuatkan dua makhluk itu menjadi semakin laju berlari.
Langkah mereka lantas mati. Jantung mereka berdebar kencang. Seperti tidak percaya dengan apa yang sedang mereka lihat pada ketika itu. Di hadapan mereka terbaring sekujur tubuh yang hampir terputus dua. Darah merah pekat membasahi bumi.
“Se…se…semah?!” gagap Toyol bersuara.
“Cepat Yol! Kita kena bagitau Timah tentang hal ini.” Pantas saja Saka memberikan usul.
“Tapi macam mana dengan Semah?”
“Dia dah mati! Biarkan saja di situ dulu. Yang penting kita kena bagitau si Timah secepat mungkin. Cepat Yol!” Lantas Saka menarik tangan Toyol dan beredar dari situ secepat yang mungkin.
* * * * * * * * *
Ramai makhluk yang berasal dari puak Pontianak berkumpul mengelilingi mayat salah satu dari mereka yang bernama Semah itu. Keadaan mayat itu lebih ngeri dari rupanya yang kelihatan hodoh dan menakutkan. Mata merahnya terbelalak besar. Mulutnya ternganga sehingga memperlihatkan sepasang taring tajam yang diselaputi darah pekat. Mayat itu hampir terputus dua di bahagian perut.
“Ada kamu berdua lihat siapa yang membunuh si Semah ni?” soal Timah selaku ketua puak Pontianak dengan suara yang mendatar.
“Takde.” Ringkas Saka menjawap.
“Ada yang tak kena sejak akhir-akhir ni. Baru sahaja minggu lepas salah satu dari puak Pocong mati tanpa kepala. Melihat dari cara si Semah ini mati, aku tak fikir ini angkara pemburu hantu atau pun orang alim,” serius Maimun memberitahu.
“Memang ada yang tak kena! Aku nak kau aturkan satu perjumpaan dengan semua puak secepat yang mungkin!” Timah memberi arahan kepada Maimun. Walaupun suaranya masih mendatar, tetapi tidak dapat menyembunyikan ketegasannya. (bersambungs dulu...)

Projek Kini Dirasmikan...

INI BUKU SERAM The Series
Seperti yang telah aku gembar-gemburkan sebelum ini. Alhamdulillah atas izin Allah, akhirnya aku mampu untuk memulakan projek mengarut aku ni. Khas buat semua yang setia bertandang ke blog ku ini. Harap cerita ini dapat memberikan korang semua manfaat (ada ke???) dan boleh menghiburkan hati kalian kalau tak banyak pun sikit pun jadilah bak kata orang tua-tua.





Dengan lafaz Bismillahirahmannirrahim..Aku mempersembahkan korang semua...INI BUKU SERAM The Series...Kepada semua peminat INI BUKU SERAM dan INI BUKU LAAAGI SERAM, terima kasih kerana telah menjadikan dua buku itu istimewa....

Projek Mengarut Bermula Lagi!!!


Salam buat semua para pengunjung yang masih saja setia bertandang ke blog ku yang tak seberapa ini. Di hari yang agak suram ini, aku ingin menggembar-gemburkan satu projek lagi projek mengarut ku kepada semua pengunjung. Sebenarnya projek kali ini adalah sebagai gantinya projek Novelog ku yang terpaksa aku hentikan atas sebab2 yang tidak dapat ku nyatakan di sini. Yang pastinya bukan kerana ianya karya orang lain yang ku tiru. Ianya asli dari kepala hotak aku ni hah.


Projek aku kali ni lebih kepada satu coretan cerpen bersiri yang penuh dengan ayat2 yang tidak dapat untuk ku tulis di dalam manuskrip ku. Kerana ianya pasti akan tidak dibukukan. Kira ni projek lepas gian menulis cara bebas dan paling pasar sekali.


Harapan aku hanyalah, projek kali ini tidak akan lagi tertunda di tengah jalan seperti projek yang sebelumnya. Disamping itu aku berharap juga korang semua terhibur hendaknya membaca cerpen bersiri ku itu nanti.


Insya'Allah aku akan mulakan projek ini secepat yang mungkin...

Perjalanan...

Jam 5.13 pagi -Masa kejadian...
Pertama sekali aku ingin meminta maaf kepada semua pembaca blog ku ini. Yang masih setia mengunjunginya walaupun tidak seberapa. Walaupun ramai yang tidak meninggalkan jejak. Kamu semua tetap hebat bagi ku. Terima kasih kepada semua. Eh?! Aku bukan nak minta maaf ke tadi???
Aku ingin memohon seribu kemaafan kerana aku terpaksa memberhentikan projek NOVELOG ku atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Ini kerana aku sedang membuat beberapa sesi rundingan berat bersama-sama tujuh ahli kongress yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan pembuatan baju sejuk menggunakan kulit tapir selat. Ya Allah?! Apahal aku dah mula merapu ni????
Ok kembali ke trek yang betul. Aku terpaksa menghentikan produksi projek tersebut kerana sebab yang tidak dapat dielakkan. Bukan aku dah cakap ke tadi???
Namun begitu, jangan bersedih buat yang sudah mula membacanya (ada ke yang nak bersedih?) kerana aku akan menggantikannya dengan sebuah cerita yang agak ringan hingga lembu pak cik Kordin ketua kampung sebelah kampung bapak aku pun boleh membacanya dan terhibur kerananya.
Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat semua yang sudah membeli dan membaca dua karya ku bersama-sama KarnaDya. Insya'Allah kalau tidak ada arah melintang pukang, tidak lama lagi korang semua akan melihat kewujudan novel pertama ku yang mana di dalamnya aku tak melawak hatta secebis kain perca sekali pun. Mungkin saja ada yang akan kecewa atau mungkin ada juga yang sudah menyebarkan propaganda novel itu bukan karya asli ku. Tapi percayalah, itu adalah karya ku. Dan ya! Ianya tidak kelakar. Tapi tidak pula novel cinta berat yang mana mampu membuatkan emosi si pembaca terganggu sedikit sebanyak.
Baiklah oleh kerana entri kali ini adalah perjalanan, jadi aku ingin mendefinisikan (betul ke ayat aku tu???) sebuah sajak berat ciptaan ku yang mana telah menjadi rujukkan utama di beberapa universiti terkemuka di seluruh dunia. Jadi terimalah...
Perjalanan,
Perjalanan ini adalah sebuah perjalanan,
Yang mengajar aku erti sebuah kehidupan yang nyata,
Yang.....aaaaaaa,
aaaaaa,
aaaaa,
ZZZZZzzzzzzzz.....