Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Kenangan Lama = Bakal Karya Terbaru...

Ini adalah karya ku yang telah lama ku tulis. Ketika aku masih di sekolah menengah dulu. Tak silap dalam form 4 kot. Aku masih ingat bila cikgu BM aku marah aku sebab buat karangan yang mengarut. "Mana ada penulis yang datang dari negeri pulau macam Labuan ni. Kedai buku pun kecik2 semuanya. Novel dan buku pun entah abad ke berapa entah."

Terus-terang kata-katanya itu hampir melemahkan semangat aku untuk terus menulis. Hingga akhirnya aku berlajar bermain drum bersungguh-sungguh. Namun aku tetap tak dapat nak melupakan tentang menulis. Hari ini, aku persembahkan kat korang dua karangan aku yang cikgu aku katakan mengarut tu. Aku taip semuanya mengikut apa yang aku tulis kat kertas kajang sekolah. Dan aku menjadikan dua karangan ini sebagai teaser untuk karya terbaru aku. Aku nak stop tulis citer kelaka jap. Nak wat cerita serius kala lak. Korang nilai la sendiri karangan aku ni. Kalau korang pun cakap mengarut, maka mengarutlah ia. Alah! Macam la buku aku tu semua tak mengarut kan? Motto aku senang je. Hidup kita dah cukup logik dan serius sebenarnya. Setiap pilihan dalam hidup kita kena pilih dengan akal yang logik dan serius kan? So aku rasa macam takde trill sekiranya aku menulis cerita yang serius dan logik. Baik aku buat dokumentari je kan? Kan? So aku harap korang enjoy la dengan karangan aku di tingkatan 4 ni. Love u all. Jumpa kat PESTA BUKU 27 MAC 2010 INI DI BOOTH KARNADYA...



Malam Yang Panas…

Aku duduk di situ lagi hari ini. Sama seperti hari sebelumnya. Aku sudah tidak mahu meneruskan perjalanan ku lagi. Bukan kerana kaki ini sudah tidak mampu untuk melangkah. Tetapi jiwa ini sudah terlalu letih untuk menyimpan apa yang dinamakan sebagai harapan.
Bagi ku, ia sudah tidak wujud lagi. Hanya tinggal nama. Aku yakin sudah tidak ada manusia di dunia ini yang akan pernah menyimpan perkataan itu di jiwa mereka lagi. Semuanya sudah berakhir seperti yang selalu dikatakan oleh Jailani pada ku ketika dia masih bernyawa dua hari lepas.
Suasana malam masih sama seperti hari sebelumnya. Sama seperti aku yang duduk di situ sendirian. Sama dan tidak berubah. Angin malam yang dingin sudah tidak wujud. Yang ada hanya malam yang panas. Peluh tidak pernah jemu membasahi tubuh.
Mengejut telinga ku menangkap satu bunyi. Bunyi yang memberi amaran aku tidak sendiri lagi. Ada tamu yang tidak diundang sedang datang mendekat. Aku bangun dari duduk. Bersembunyi di sebalik longgokkan batu-batu bangunan yang runtuh.
Tidak jauh di hadapan soroton lampu bergerak-gerak tanpa arah yang pasti. Banyak jumlahnya. Memberi makna tamu itu bukan seorang. Aku menajamkan semua deria ku. Terutama sekali mata dan tangan ku. Jari ku sudah mula mendekati picu senjata ku. Senjata laser yang dinamakan Laser Blaze H24 oleh penciptanya.
“Hassan! Aku tahu kau ada di sini wahai orang tua. Keluarlah dan serahkan diri kau!” jerit si bangsat, Zacklen.
“Come on old man. Stop playing hide and seek with us. You got no way to run anymore!” jerit si bangsat itu lagi.
Walaupun benci mendengarnya, tapi dia betul. Aku sudah terperangkap. Jalan keluar ku berada di hadapan. Tempat di mana Zacklen dan ‘anjing-anjingnya’ bersedia dengan senjata masing-masing.
Perlahan-lahan aku keluar menunjukkan diri ku kepada mereka semua. Aku melemparkan senyuman kepada Zacklen. Dia membalasnya sinis bersama wajah yang menjengkelkan.
“At last old man. You know how hard its is to catch your ass?” kata Zacklen kepada ku. Senyumannya masih belum padam. Malah semakin mekar di bibirnya.
“Kau tak perlu nak bercakap bahasa itu dengan ku. Aku sudah jijik menggunakannya. Dan aku lebih lebih jijik bila bangsa ku sendiri menggunakannya pada ku. Kerana aku masih punya bahasa sendiri. Bahasa bangsa ku sendiri,” balas ku tegas.
“Memang dasar orang tua dari zaman kuno. Hassan…Hassan…Kita sekarang ini sudah berada di tahun 2029. Zaman kuno kau itu sudah lama pupus. Kau patut bersyukur kerana menjadi orang tua yang sangat bertuah yang berpeluang untuk melihat zaman kami yang serba canggih ini.” Zacklen tersenyum lagi.
“Zaman aku memang sudah pupus. Dan aku tidak pernah akan bersyukur kerana berpeluang untuk hidup di zaman ini. Lagipun apa yang kamu tahu tentang syukur? Pernah kau melihat rupa negara kita ini pada zaman kami, tahun 2002?
Kami juga moden pada ketika itu. Kami juga punya mesin canggih pada ketika itu. Kehidupan kami juga selesa pada ketika itu. Namun kami masih mampu untuk melihat tumbuhan hijau. Memegangnya malah menjaganya agar terus hidup bersama kami.
Kami masih mampu untuk membawa anak-anak kami ke taman dan zoo yang punya binatang sebenar. Kami masih mampu makan sayur-sayuran. Bukan hanya menelan pil sayuran yang diciptakan oleh manusia,” panjang aku berhujah. Selepas itu aku ketawa sendiri. Aku pasti ulah ku itu mengundang rasa hairan dan pelik pada mereka semua.
“Kau cakap aku ini orang tua yang kuno. Ya! Memang benar aku ini orang tua yang kuno. Usia terakhir ku sebelum kamu membekukan aku dan menghidupkan aku di zaman ini, adalah 43 tahun.
Usia yang sudah cukup untuk dipanggil tua. Tapi aku merasa sungguh lucu sekali. Kau bangga dengan semua kecanggihan yang zaman ini punya. Tapi lihatlah kamu semua. Untuk bernafas di sini pun kamu tidak berani.
Semuanya bertopeng dengan oksigen buatan manusia. Untuk terus bernafas di bumi sendiri pun kamu sudah tidak mampu. Tanah ini sudah tidak punya makna dan fungsi lagi. Tiada tumbuhan yang mampu dibesarkan di tanah ini!
Tiada lagi malam yang dingin. Yang ada hanya malam yang panas…” belum sempat aku menghabiskan kata-kata ku, Zacklen meledakkan satu tembakan ke arah ku.
Pandangan ku kabur. Daya ku pantas menghilang. Hingga akhirnya aku jatuh terbaring ke lantai bumi. Telinga ku yang tadinya berdengung, kini mendengar degupan jantung yang kian perlahan. Akhirnya aku pergi juga meninggalkan bumi yang sudah mati ini. Namun aku bangga. Sangat bangga.
Kerana aku akhirnya mampu mati bersama bumi ini.


Target 13…

Semalam aku mendapat satu panggilan bertugas mengejut dari pihak atasan. Aku selaku ketua pasukan Alpha13, menjadi orang yang paling sibuk sekali. Namun begitu sekali lagi pasukan elite ku ini mendapat perhatian khas dari seluruh unit penting kerajaan. Nama kami menjadi sebutan. Hasil kerja kami menjadi harapan. Kami tidak punya pilihan lain selain dari berjaya melaksanakan kerja kami itu.
“Di mana kedudukan target sekarang ini?” soal ku kepada Slash, pemberi maklumat untuk misi ku kali ini.
“Target sudah memasuki kawasan coklat,” jawab Slash sambil menunjukkan aku monitor komputer ribanya. Di skrin terpampang pergerakkan target yang menuju ke Timur. Target ditunjukkan sebagai satu titik hijau yang bergerak perlahan pada lampiran peta yang sudah didekatkan.
“Nampaknya target tidak hanya bergerak ke Timur. Dia tahu arah itu. Dia tahu ke mana dia melangkah. Hanya pihak kerajaan saja yang tahu tentang jalan ke Timur. Siapa target kita ni?” soal ku perlahan. Agak perlahan sehingga hampir tidak didengar oleh Slash.
“Buat masa ini kalian tidak boleh tahu tentang target. Arahan pihak atasan. Misi kalian semua adalah untuk membawa balik target ke sini. Hidup-hidup,” terang Slash dengan wajah serius.
Sesuatu yang baru. Aku tidak diberikan tentang profile target. Maknanya aku sedang memburu target yang tidak bernama. Aku menamakan target itu sebagai Target 13. Sempena dengan tarikh aku memulakan misi memburunya. Aku bersama empat anak buah ku yang paling cekap bergerak memburu Target 13 dengan hanya berpandukan gambar wajahnya. Gambar dia sedang terbaring kaku di katil penjara.
Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menjejak dan mengepung target. Ternyata target telah melarikan diri dari penjara khas. Tapi aku tidak habis fikir bagaimana dia boleh melarikan diri dari penjara yang dikawal oleh askar-askar yang cekap. Aku lebih bingung bila melihat senjata yang dia gunakan. Sebilah pedang lama yang kalau tidak silap aku namanya keris.
“Berdiri di mana kamu berada sekarang! Dan jangan cuba buat apa-apa yang bodoh!” jerit ku pada Target 13.
Kami semua berada di satu kawasan gersang atau lebih tepatnya padang pasir. Tiada apa di situ selain dari lapangan berpasir. Kami berlima mengepung target sambil mengacukan senjata ke arahnya sebagai langkah berjaga-jaga.
“Jangan mengganggu,” target bersuara.
“Tapi kamu telah melarikan diri dari penjara khas. Itu adalah kesalahan yang sangat besar!” aku cuba menerangkan kesalahannya.
Dia kemudian berpusing menoleh ke arah ku. Lalu perlahan-lahan dia menoleh pula empat anak buah ku. Dia kemudian tersenyum sendiri.
Tanpa kami semua bersedia, target bergerak pantas menyerang salah seorang dari anak buah ku. Pergerakannya sungguh pantas! Sekelip mata saja dia berjaya membenamkan pedang kunonya ke dada salah seorang anak buah ku. Kami mula melepaskan tembakan.
Sungguh menakjubkan, tiada satu pun peluru kami berjaya singgah ke tubuhnya. Target bergerak lebih pantas dari peluru kami. Dia sepertinya seorang dewa perang yang tidak mampu untuk kami lawan. Sumpah aku tidak pernah berdepan dengan target yang sepantas dia.
Ketika kami masih berusaha untuk menembak target, satu per satu anak buah ku tumbang tak bernyawa. Sehingga akhirnya tinggal aku dan dia. Berdiri menghadap satu sama lain. Mata kami bertentangan.
Itulah kali pertama aku dapat merasakan satu ketakutan yang maha dahsyat. Sehingga tangan ku berketar memegang senjata. Aku sudah berhenti menembak. Membuatkan keadaan sunyi kembali.
“Si…siapa kau sebenarnya?” tanya ku kepada Target 13.
Dia tidak segera menjawap. Sebaliknya melemparkan senyuman yang bersahaja. Dengan langkah tenang, dia bergerak ke arah ku. Aku pula berdiri kaku dengan senjata yang masih kejap di tangan. Jantung ku berdebar kencang. Aku terlalu takut untuk bergerak.
“Boleh hamba tahu di mana hamba berada? Zaman apakah ini?” Target 13 sebaliknya menanyakan aku soalan. Membiarkan pertanyaan ku sebentar tadi tidak terjawap.
“Kamu sekarang ini berada di Malaysia. Tahun 2032.” Ringkas aku memberitahu.
Matanya buntang. Dari riaknya jelas rasa terkejut dan tidak percaya berbaur di hatinya. Dia perlahan tertunduk. Rambutnya yang panjang melepasi bahu sesekali terbang bila ditiup angin. Sejurus dia mengangkat wajahnya, terlihat pula wajah kecewa.
“Sungguh hamba tidak sangka semua ini benar-benar terjadi. Sebelum ini, ahlil nujum istana pernah memberitahu hamba sesuatu yang sukar diterima akal waras. Katanya hamba akan menghilang ke zaman yang jauh sekali. Sekarang, semua itu benar-benar terjadi,” ujar Target 13 sambil menggeleng lemah.
Dia kemudian diam membisu. Aku juga begitu. Masih mencari kata-kata yang sesuai untuk dilafazkan. Menjana benak ku sekerasnya. Walau kekeliruan masih merajai benak itu.
Tiba-tiba keadaan menjadi riuh-rendah dengan bunyian kereta dan juga heli yang menyuluh tepat ke arah Target 13. Namun begitu dia masih mampu untuk berdiri dengan tenang.
“Jangan bergerak! Kamu sudah dikepung!” satu suara lelaki keluar dari pembesar suara heli.
Bila aku lihat sekeliling, kami sudah dikepung oleh puluhan kereta skuad khas yang dilengkapi dengan senjata api. Sedia untuk meragut nyawa Target 13 sekiranya dia berbuat sesuatu yang bodoh.
Dengan penuh nekad, Target 13 cuba bergerak melintasi barisan kereta skuad khas bagi meloloskan dirinya. Sesuatu yang sangat bodoh! Walau selaju mana pun dia, pasti tidak akan berjaya melepasi ratusan peluru yang diledakkan oleh kereta itu.
Seperti yang ku katakan. Target terkena tembakan yang bertalu-talu. Setelah mendengar jeritan dari kapten mereka, barulah tembakan dihentikan. Target 13 jatuh melutut di tanah. Darah merah membasahi baju penjaranya yang serba putih.
Aku berlari mendapatkannya. Lalu ku tangkap tubuhnya yang sudah hampir rebah ke tanah. Perlahan-lahan aku meletakkan kepalanya di riba ku. Dia menatap ku hairan. Mungkin dia tidak menyangka aku akan berbuat begitu kerana sebelum ini aku juga pernah melepaskan tembakan ke arahnya.
“Terima kasih tuan hamba,” lemah dia mengucapkan itu kepada ku. Lidah ku kelu untuk menjawap.
“Adakah tuan hamba ini orang melayu?” dia bersuara lagi.
“Ya. Saya orang melayu,” jawab ku tersekat-sekat. Dia lalu tersenyum dalam keadaan terseksa menahan kesakitan.
“Hamba gembira sekarang. Masih ada bangsa melayu yang hebat seperti tuan hamba. Dari pakaian tuan hamba, hamba tahu tuan hamba pasti laksamana di zaman ini. Hamba sangat takut kiranya orang melayu akan pupus dimamah zaman. Hamba takut kiranya bangsa melayu dijajah bangsa lain. Hamba takut tiada lagi anak melayu yang berani memperjuangkan bahasa dan budayanya serta bangsanya bila bangsa lain datang ke tanah melayu. Tapi sekarang hamba lega. Tak akan melayu hilang di dunia…” Itulah kata-kata terakhir Target 13 kepada ku.
Walaupun aku tidak sempat untuk mengenalinya. Tidak tahu akan namanya. Tapi aku pasti dia adalah seorang pahlawan yang hebat di zamannya dahulu hinggalah ke hari ini.

1 comments:

haaaaaa, ni nak comment ni. hehehe

karangan masa form 4? maksudnya, masa tu abang baya fatin la ni? kan kan?

mengarut? mana ada mengarut? fatin suka karangan pertama. mungkin masa tu cikgu abang tak lihat ke depan lagi kut. maybe karangan abang agak pelik sebab yelah, zaman tu mungkin kita tak terfikir lagi benda ni akan jadi. kehabisan oksigen, penklonan, semua benda. tapi kalau karangan ni abang tulis sekarang, fatin rasa karangan abang ni masuk akal juga. tak mustahil benda macam ni boleh berlaku pada tahun 2029 nanti. betul tak? truth to be said, karangan 1st tu genius. i like it very much!!!

 

Post a Comment