Resmanc World

Selamat Datang Ke Dunia Imiginasi Ku...

Episode 06

Kereta kami berhenti tidak jauh dari sebuah sekolah rendah. Mata Black buntang melihat sekolah itu. Aku tahu dia pasti masih ingat sekolah itu. Begitu juga dengan diri ku dan pemandu kami, Pak Ali.
“Bos. Ini bukan ke sekolah budak gemuk yang bos bawa hari tu? Apa kita buat kat sini bos?” pantas Black menanya ku. Membuatkan aku sekali lagi tersenyum.
“Sebab itulah aku bawa kau saja. Aku perlukan pertolongan kau. Aku cuma kau aturkan semua dokumen yang penting untuk aku mencari kerja,” jawab ku tanpa mengalihkan pandangan ku dari sekolah rendah itu.
“Cari kerja? Bos ni nak bergurau dengan saya agak-agak la bos. Bulan April dah lepas. Ke bos nak masukkan saya dalam rancangan apa tu er…Bang bang boom? Jangan la macam ni bos. Saya tau la saya selalu buat silap dalam kerja,” ujar Black mengarut.
“Aku bukan nak bergurau dengan kau la! Aku nak kerja dalam sekolah tu!” balas ku dengan suara yang ditekan.
“Apa?! Bos nak kerja kat sekolah rendah tu?! Tapi bos kan ketua kongsi gelap yang paling digeruni dalam bandar Lifey ni? Buat apa pulak bos nak kerja kat sekolah rendah tu! Harta bos tu tujuh keturunan pun tak habis makan tau bos,” Black menjawab.
“Kau ingat tak dulu aku pernah tanya kau apa yang best punya kekasih?” tanya ku dengan wajah serius. Kemudian aku menyambung, “Dan masih ingat sebab positif yang kau beritahu pada aku tu? Sebab tu la aku nak kerja di sini.”
“Maksud bos…”
“Ya. Aku rasa aku sudah dilamun cinta pandang pertama dengan seorang cikgu di dalam sekolah ini,” aku akhirnya mengakui itu di hadapan Black. Aku dah tak peduli kalau dia nak ketawakan aku.
“Jadi bos nak jadi cikgu kat sekolah tu ke? Tak ada hal, saya boleh aturkan semuanya. Sekarang ni bos, dengan duit hampir semua benda kita boleh buat,” kata Black.
“Kalau boleh aku memang nak jadi cikgu kat sekolah tu, tapi tak apa, aku pergi tanya dulu kalau-kalau ada kekosongan kerja sebagai cikgu lepas tu aku buat temujanji untuk temu duga. Lepas tu baru kau sediakan semua dokumen yang diperlukan. Amacam? Ok tak idea aku?” tanya ku sambil mengangkat kening.
“Cantik sangat bos! Bos nak saya temankan ke?”
“Mana ada orang nak pergi temuduga diiring oleh orang! Nanti orang suspek kat kita la. Kau dengan Pak Ali tunggu aku kat sini je. Ingat parking jauh sikit. Aku tak nak ada orang nampak aku pulang naik kereta ni!” beritahu ku pada Black.
“Baik bos! Selamat berjaya mencari cinta yang sejati bos!” sempat Black memberikan aku kata-kata semangat. Baik hati juga dia ni. Memang aku tak salah pilih dia sebagai orang kanan aku.
Cepat-cepat aku membuka kot ku. Aku berjalan masuk ke dalam kawasan sekolah itu dengan hanya memakai baju kemeja kelabu ku dan seluar slack putih. Sebaik aku melintasi pondok jaga, pantas saja jaga itu menegur ku.
“Selamat pagi encik,” ucap jaga itu pada ku dengan muka sedikit cuak.
“Selamat pagi,” ringkas aku menjawab sambil tersenyum berat.
“Encik tolonglah jangan tangkap saya!” Dengan tidak semena-mena jaga tu merayu pada ku. Sawan ke apa dia ni?
“Hoi! Aku datang bukan nak tangkap kau la! Aku ada hal sikit kat pejabat,” beritahu ku dengan suara yang ditekan perlahan.
“Oh?! Yeke? Terima kasih encik. Sila masuk encik,” balas jaga itu dengan muka lega. Aku kemudian bergerak ke pejabat sekolah.
Setiba ku di pejabat itu, wajah pertama yang aku lihat adalah seorang mak cik tua yang berbaju kurung dan tudung serba pink. Dia memandang ku dengan senyuman yang semacam. Cukup membuatkan aku meremang.
“Ada apa yang boleh saya bantu encik?” si mak cik itu bersuara. Senyumannya semakin semacam. Dan aku semakin meremang.
“Er…boleh saya tahu di sekolah ini ada jawatan kosong tak?” tanya ku tanpa memperkenalkan diri.
“Encik nak jawatan apa?”
“Apa-apa jawatan pun boleh. Asalkan saya dapat kerja. Sudah hampir tiga bulan saya menganggur sejak syarikat saya bekerja bankrap.” Aku menipu.
“Sebentar saya periksa,” beritahu mak cik pink itu. Dia kemudian bergerak masuk ke dalam salah satu bilik pejabat yang ada di situ. Tiga minit kemudian dia kembali masih dengan senyuman dia yang semacam dan meremangkan diri ku itu.
“Nampaknya hari ini adalah hari bertuah encik. Kebetulan sekolah kami ini memerlukan seorang budak penghantar surat atau lebih dikenali sebagai mat despatch.” Mak cik itu memberikan aku berita baik. Membuatkan hati ku sungguh gembira sekali.
“Syukur la kalau macam tu er…cik,” aku tersekat di situ. Mak cik itu tersipu malu mendengar aku memanggilnya dengan gelaran itu.
“Awak boleh jumpa dengan Puan Halimah, pegawai HR kami. Pejabat dia di situ,” mak cik itu menunjukkan aku pejabat yang dia masuk sebentar tadi. Aku ke situ selepas mengucapkan terima kasih kepadanya. Sekali lagi dia tersipu malu bila aku sekali lagi memanggil dia cik. Hampeh sungguh!
“Selamat pagi Puan Halimah,” ucap ku sebaik membuka pintu pejabat.
“Selamat pagi…Silakan duduk,” Puan Halimah mempersilakan dengan penuh sopan.
“Nama saya Resmanc. Saya diberitahu oleh cik di luar tadi yang sekolah ini memerlukan seorang budak penghantar surat pejabat. Jadi saya ingin memohon jawatan itu atas pertimbangan pihak puan,” ujar ku dengan penuh berhemah.
“Boleh saya tahu, sebelum ini kamu kerja apa?”
“Saya kerja sebagai budak penghantar surat juga puan.” Jawab ku berbohong.
“Mengapa kamu berhenti? Adakah kamu diberhentikan?”
“Tidak puan. Syarikat saya bekerja itu yang bankrap sebab bos kami tu kuat sangat main judi,” aku menjawab.
“Syarikat apa itu?”
“Nama syarikat tu Chi Tong Brothers. Ia merupakan sebuah syarikat kecil pembekal alatan ganti kereta puan,” aku mereka-reka maklumat.
“Kalau macam tu, memandangkan kamu sudah mempunyai pengalaman dengan kerja yang kami tawarkan ini, jadi saya rasa, tidak ada masalah untuk mengambil kamu bekerja. Baiklah kamu lengkapkan borang maklumat pekerja ini dan hantar ia esok sekali kamu terus bekerja,” beritahu Puan Halimah. Aku tersenyum riang.
“Terima kasih banyak-banyak puan,” kata ku. Puan Halimah melihat ku sambil tersenyum ramah. Akhirnya aku dapat juga bekerja di sekolah ini. Begitu mudah jalan ku untuk mendapatkan pekerjaan ini. Syukur kepada Tuhan.

2 comments:

Makcik Pink??? Hahaha. Ok, selamat menjadi despatch buat Resmanc!

 

Hahaha itu adalah kisah betul tau. Maksud saya tentang mak cik pink itu. Beliau memang pernah menghantui hidup saya hahahaha

 

Post a Comment